Proton terap rancangan perniagaan lima tahun

Proton terap rancangan perniagaan lima tahun

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) – Pembuat kereta tempatan, Proton, telah memulakan beberapa langkah secara berperingkat di bawah rancangan perniagaan lima tahun syarikat bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi negara, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Miti dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata langkah tersebut termasuk merangka beberapa insentif melalui pelan pembangunan jangka panjang.

“Langkah-langkah ini bertujuan mentransformasikan dan memperkasa kedudukan semasa Proton dan pada masa akan datang bagi memastikan Proton akan dapat terus berdaya saing di dalam dan luar negara,” kata kementerian bagi menjawab soalan Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh).

Beliau bertanyakan unjuran masa hadapan Proton dalam ketidaktentuan ekonomi negara.

Miti berkata Proton juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memperkasakan keupayaan teknikal serta mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat pembekal komponen dan rangkaian pengedar.

Kata kementerian bagi merangsang semula jualan kenderaan dan meningkatkan penggunaan lebihan kapasiti, Proton bercadang untuk memperkenalkan beberapa model baharu seperti Perdana baharu, Persona baharu dan Saga baharu tahun ini.

Selain itu, katanya melalui kerjasama dengan pengeluar kenderaan Jepun, Suzuki, Proton juga akan memperkenalkan beberapa model kenderaan baharu bagi pasaran tempatan dan serantau.

“Hala tuju inisiatif-inisiatif baharu Proton ini adalah bagi membolehkan Proton meningkatkan daya saing bagi menghadapi cabaran dan pasaran yang lebih kompetitif,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA