Proton tutup tirai 2016 dengan Ertiga

Proton tutup tirai 2016 dengan Ertiga

SHAH ALAM, 24 Nov – Proton Holdings Bhd terus berpegang kepada komitmen untuk melancarkan empat model kereta dalam 2016 apabila ia memperkenalkan Proton Ertiga, model keempat dan terakhir dalam tahun ini.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) itu diperkenalkan melalui kerjasama Proton dengan Suzuki Motor Corp dari Jepun, akan dijual pada harga RM58,800 hingga RM64,800 di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton (CEO) Datuk Ahmad Fuaad Kenali ketika bercakap pada majlis pelancaran, memberitahu model tersebut merupakan MPV kompak pertama di Malaysia yang diberikan status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Institut Automotif Malaysia.

“Ertiga dibuat dengan penuh ketelitian, enjin walaupun pada kelajuan 110km sejam pada 2,900 rpm masih lagi senyap dan pelenyap bunyi daripada kebisingan jalan dan angin menjadikan kereta tersebut selesa dipandu lembut dan kurang gegaran,” katanya.

Pengerusi DRB - HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil (kanan) selepas melancarkan Proton Ertiga 1.4L pada majlis pelancarannya di Setia Alam Convenction Centre, Setia Alam, kelmarin. – Bernama
Pengerusi DRB – HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil (kanan) selepas melancarkan Proton Ertiga 1.4L pada majlis pelancarannya di Setia Alam Convenction Centre, Setia Alam, kelmarin. – Bernama

MPV itu didatangkan dalam dua versi iaitu Executive (transmisi manual dan automatik) serta Executive Plus (automatik), kedua-duanya diberikan penarafan empat bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Sementara itu, semasa sidang akhbar, Ahmad Fuaad berkata matlamat syarikat adalah untuk mencapai jualan bulanan purata sebanyak 1,500 unit.

Ahmad Fuaad berkata, kandungan peralatan tempatan Ertiga sekarang ini adalah sebanyak 15 peratus dan ini akan meningkat selepas ia mencapai jumlah jualan tertentu. Bahagian-bahagian pemasangan tempatan (CKD) dihantar ke negara ini daripada kilang Suzuki di Indonesia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA