‘Provokasi’ Cavani, Tabarez bengang

‘Provokasi’ Cavani, Tabarez bengang

SANTIAGO, 25 Jun (AFP) – Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez menyelar hukuman buang padang terhadap Edinson Cavani selepas rakaman video mendapati pemain itu bertindak balas atas provokasi Chile.

Pada pertembungan panas suku akhir Copa America itu, pagi tadi Cavani yang juga penyerang Paris Saint-Germain diprovokasi pertahanan Chile, Gonzalo Jara yang dilihat memasukkan jari ke bahagian punggungnya.

Tindakan itu menyaksikan Cavani pantas melakukan serangan balas dengan menyepak kepala Jara yang pantas membawa kepada layangan kad kuning kedua oleh pengadil sekali gus diarah keluar padang.

Tabarez berkata, Cavani adalah mangsa provokasi Jara yang sepatutnya dapat dilihat oleh pegawai perlawanan. Rakaman perlawanan daripada pelbagai sudut mendapati Jara memang memasukkan jarinya ke punggung Cavani sebelum kekasaran berlaku.

“Untuk penyingkiran Cavani, kamu boleh lihat apa yang berlaku dan apakah kekasaran yang dibuat. Saya minta kamu merujuk kepada televisyen dan gambar mengenainya, semuanya ada di situ,” kata Tabarez.

Muka depan sebuah akhbar Uruguay di Montevideo menunjukkan provokasi pemain Chile, Gonzalo Jara terhadap Cavani dalam aksi suku akhir Copa di Santiago semalam. – AFP
Muka depan sebuah akhbar Uruguay di Montevideo menunjukkan provokasi pemain Chile, Gonzalo Jara terhadap Cavani dalam aksi suku akhir Copa di Santiago semalam. – AFP

“Saya dapat lihat pengadil tidak melihat provokasi itu, namun penjaga garisan sepatutnya dapat melihat dari tempat dia berada,” katanya.

Ini bukan kali pertama Jara terbabit dengan insiden kontroversi membabitkan pemain Uruguay. Pada 2013, penyerang Uruguay, Luis Suarez menumbuk Jara selepas dia didapati meramas kemaluannya ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Tabarez berkata dengan penyingkiran Cavani, perlawanan ketika itu yang berkedudukan 0-0, tambah menyukarkan pemainnya.

“Kami mengawal perlawanan namun apabila kami hanya tinggal 10 pemain ia menjadi lebih sukar kerana ia merencatkan peluang kami untuk menyerang,” kata Tabarez. Selepas kehilangan Cavani, keadaan Uruguay tambah parah apabila seorang lagi pemainnya, Jorge Fucile turut berdepan tindakan sama atas kekasaran dilakukan kepada Alexis Sanchez.

ARTIKEL YANG SAMA