PRR mampu lahirkan remaja berkebolehan, berketerampilan

PRR mampu lahirkan remaja berkebolehan, berketerampilan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Penyerahan Tugas dan Pelantikan Ahli Pembimbing Rakan Remaja (PRR) Sesi 2016/2017 yang diadakan di maktab berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan lencana ialah Pegawai Penerangan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Haji Dayang bin Haji Kasim. Beliau dalam ucapannya telah menggariskan tujuh tanggungjawab sebagai seorang pelajar, iaitu terhadap diri sendiri, agama, keluarga, masyarakat, maktab, guru dan juga negara.

Tanggungjawab kepada diri sendiri, jelasnya, adalah menjaga kebersihan diri termasuklah kebersihan fizikal, mental dan rohani bersopan, jujur dan amanah, menghargai masa dan menepati masa, berjimat-cermat dan bersifat sederhana dan tidak sombong.

Manakala itu, tanggungjawab pelajar terhadap agama ialah taat kepada perintah Allah S.W.T, mempertahankan kesucian agama, mendalami dan mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian, menuntut ilmu sebagai memenuhi tuntunan agama dan menyebarluaskan nilai-nilai keagamaan dalam kalangan masyarakat. Sementara itu, tanggungjawab pelajar kepada keluarga juga penting dalam memenuhi hasrat dan cita-cita keluarga untuk menjadi seorang yang berpendidikan dan bermoral tinggi dan tanggungjawab kepada masyarakat akan dapat mempertahankan nila-nilai murni masyarakat Brunei daripada pencemaran budaya.

Menurutnya lagi, tanggungjawab pelajar terhadap maktab akan dapat memenuhi dan mematuhi peraturan-peraturan maktab di samping menghormati guru-guru dan kakitangan maktab. Pelajar juga diseru untuk bertanggungjawab terhadap guru dalam menghormati guru sebagai sumber pengetahuan, bersopan terhadap guru, bersedia memberi kerjasama dan bantuan, mematuhi arahan guru dan juga menjaga perasaan guru.

 

ARTIKEL YANG SAMA