PRU Singapura 2015 sengit

PRU Singapura 2015 sengit

SINGAPURA, 1 Sept (Bernama) – Untuk julung kalinya sejak Singapura mencapai kemerdekaan pada 1965, parti memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), menghadapi persaingan paling sengit dalam pilihan raya umum apabila kesemua 89 kerusi di 29 kawasan pilihan raya menyaksikan pertandingan pada hari pengundian 11 Sept ini.

Bahagian pilihan raya republik ini mengandungi 16 Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC) dan 13 Kawasan Anggota Tunggal (SMC).

Lapan parti lain yang bertanding dalam pilihan raya umum kali ini ialah Parti Pekerja (WP), Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Perubahan (RP), Singaporeans First (SF) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Tiga SMC menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu Radin Mas, Bukit Batok dan MacPherson.

PRU 2015 merupakan pilihan raya umum pertama republik ini sejak kematian perdana menteri pertamanya Lee Kuan Yew pada Mac tahun ini.

Perdana Menteri Singapura meneliti senarai calon pilihan raya di pusat penamaan calon di Raffles Institution hari ini.
Hari pengundian ialah pada 11 September. – Bernama
Perdana Menteri Singapura meneliti senarai calon pilihan raya di pusat penamaan calon di Raffles Institution hari ini.
Hari pengundian ialah pada 11 September. – Bernama

Ia juga merupakan pilihan raya umum ketiga bagi Perdana Menteri dan setiausaha agung PAP sekarang, Lee Hsien Loong.

Calon daripada semua parti mengemukakan kertas pencalonan di sembilan pusat di republik ini apabila proses penamaan calon berkahir pada tengah hari Selasa.

Daripada 89 calonnya, PAP mengemukakan 22 muka baharu – 14 daripada mereka daripada sektor swasta, enam daripada sektor awam dan dua daripada pertubuhan bukan kerajaan.

Ketika berucap kepada para penyokongnya di pusat penamaan calon di Raffles Institution di sini, Lee, yang mempertahankan kerusi Ang Mo Kio GRC, meminta pemilih “mengundi dengan serius” untuk PAP.

“Ia (pilihan raya) melibatkan masa depan anda. Undilah secara serius untuk PAP bagi memastikan kami dapat bekerjasama dengan anda, untuk anda, untuk Singapura,” katanya.

Lee ditentang M Ravi daripada Parti Perubahan.

Ketua WP, Low Thia Khiang pula memberitahu pemberita: “Kami berharap pilihan raya kali ini akan menjadikan rakyat lebih sedar tentang masa depan mereka dan keputusan yang perlu dibuat untuk diri mereka.

Pilihan raya umum sebelum ini, yang diadakan pada 2011, menyaksikan pertandingan di 82 daripada keseluruhan 87 kerusi yang dipertandingkan. PAP menang tanpa bertanding di GRC Tanjong Pagar yang mempunyai lima anggota, dengan diketuai Lee Kuan Yew.