PSG akhirnya kecundang di Lyon

PSG akhirnya kecundang di Lyon

PARIS, 29 Feb (Agensi) – Rekod tanpa kalah yang lama dipegang Paris Saint-Germain akhirnya lebur, malam tadi selepas kecundang 1-2 di Lyon.

Kekalahan itu adalah yang pertama diterima pendahulu Ligue 1 dalam pertandingan domestik sepanjang tempoh hampir setahun.

Gol Lyon hadir pada separuh pertama daripada penyerang muda Maxwel Cornet dan pemain tengah Sepanyol, Sergi Darder manakala pemain sayap Brazil Lucas meledak jaringan tunggal untuk PSG.

Kemenangan itu membolehkan Lyon naik ke tangga ketiga berdasarkan perbezaan gol mengatasi Caen, manakala PSG tetap jauh meninggalkan Monaco di kedudukan kedua dengan 23 mata dan hanya berbaki 10 perlawanan.

“Kami bermain satu perlawanan yang luar biasa dalam setiap posisi,” kata pemain tengah Lyon, Jordan Ferri.

Maxwel ketika menjaringkan gol ketika perlawanan Lyon menentang PSG, sekali gus berjaya menewaskan PSG dengan jaringan 2-1. – Reuters
Maxwel ketika menjaringkan gol ketika perlawanan Lyon menentang PSG, sekali gus berjaya menewaskan PSG dengan jaringan 2-1. – Reuters

“Kami memberitahu diri kami, ini masa untuk mengalahkan mereka, dan kami bertahan dalam 10 minit terakhir apabila mereka memberi tentangan sengit.”

Ia hanya kekalahan kedua PSG dalam 42 perlawanan musim ini selepas tunduk 0-1 kepada Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, 3 November lalu dan kali pertama tewas 2-3 dalam saingan domestik di Bordeaux dalam liga Perancis pada 15 Mac.

“Lyon bermain lebih baik daripada kami, jadi tahniah kepada mereka,” kata pertahanan tengah PSG, David Luiz.

“Kami tidak bermain dengan baik malam ini dan itulah bola sepak.”

ARTIKEL YANG SAMA