PSG benam Malmo

PSG benam Malmo

PARIS, 16 Sept (AFP) – Angel Di Maria dan Edinson Cavani menemui sasaran ketika Paris Saint-Germain memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Malmo di Parc des Princes, semalam.

Di Maria menjaringkan gol kurang daripada empat minit selepas penampilan sulung Eropah sebagai pemain PSG untuk menetapkan juara Perancis itu dalam laluan tetapi mereka banyak terlepas peluang sebelum berjaya melanjutkan kelebihan apabila Cavani menanduk masuk pada minit ke-61.

Dengan Real Madrid dan Shakhtar Donetsk juga dalam Kumpulan A, Paris memerlukan permulaan kukuh menentang juara Sweden kerana mereka mensasarkan bukan sahaja untuk layak ke pusingan kalah mati tetapi memantapkan kembara ke suku akhir dalam setiap satu daripada tiga kempen yang lepas.

Ketika mereka mendapat mata, ia bukan satu paparan vintaj pasukan Laurent Blanc dengan Zlatan Ibrahimovic mensia-siakan peluang di depan pintu gol dan kemudian digantikan menentang pasukan bandar kelahirannya dan kelab di mana dia memulakan kerjaya cemerlang pada 1999.

“Bukan mudah untuk menang di laman sendiri atau dalam Liga Juara-Juara. Jadi untuk menang 2-0 dan mencetuskan masalah kepada lawan dan nampak selesa di belakang adalah permulaan yang baik walaupun ada beberapa perkara yang kami perlu perhalusi,” kata Blanc.

Di Maria meraikan jaringan Eropah pertamanya bersama PSG semasa menentang Malmo di Paris semalam. – Reuters
Di Maria meraikan jaringan Eropah pertamanya bersama PSG semasa menentang Malmo di Paris semalam. – Reuters

“Ia merupakan petanda yang baik. Kami mahu menang dan kita berjaya melakukannya walaupun saya kesal kerana kita tidak menjaringkan satu atau dua gol lagi.”

Ibrahimovic kembali selepas cedera dalam salah satu daripada tiga perubahan kepada pasukan Paris yang seri 2-2 di tempat sendiri dengan Bordeaux dalam aksi Ligue 1 pada hujung minggu, tetapi dia juga membantu mencipta peluang pada minit keempat untuk jaringan Di Maria.

Pemain sayap Argentina itu telah dilabelkan sebagai seorang pemain yang akan membawa PSG ke peringkat seterusnya di Eropah apabila ditandatangani dari Manchester United bulan lalu, dan dia membuktikannya apabila mengejar hantaran Marco Verratti di belakang pertahanan Malmo sebelum membuat rembatan sudut yang cantik melepasi Johan Wiland ke penjuru gawang.

Bagaimanapun, jika sesiapa menjangka PSG untuk menang besar, mereka pasti kecewa. Malmo yang menewaskan Celtic dalam play-off untuk sampai ke peringkat ini, dipenuhi sembilan pemain antarabangsa pada sepak mula dan, dengan lima pertahanan dan dua orang di bahagian tengah, mereka adalah lawan yang sukar.