PSG bermula langkah kanan

PSG bermula langkah kanan

PARIS, 22 Ogos – Lucas, Layvin Kurzawa dan Marco Verratti meledak gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) menundukkan Metz 3-0 di Parc des Princes dalam aksi pertama jurulatih baru, Unai Emery di laman sendiri, awal pagi hari ini.

Keputusan itu membenarkan PSG meneruskan permulaan sempurna di bawah pengendali kelahiran Sepanyol itu dengan aksi pada sebelah petang di ibu kota Perancis itu dibayangi cemuhan penyokong tuan rumah terhadap penyerang Edinson Cavani.

Bintang Uruguay itu meledak 53 gol sepanjang tiga musim terakhir walaupun kehadirannya sering dibayangi kelibat Zlatan Ibrahimovic, sekali gus menyaksikan dia perlu bekerja keras sejak berpindah daripada Napoli pada musim 2013.

Dengan idolanya, Ibrahimovic sudah berhijrah ke Manchester United, Cavani kini menjadi peledak utama PSG namun setakat ini dia seperti enggan menggunakan sepenuhnya peluang terbabit apabila terlepas deretan peluang ketika menentang Metz.

“Apabila penyerang mula menunjukkan peningkatan dalam sebahagian aspek, kami akan menjaringkan lebih banyak gol,” kata Emery, sebagai mempertahankan Cavani.

Aksi pemain PSG, Angel Di Maria (kiri) dengan pemain daripada Pasukan Metz, Jonathan Rivierez di Stadium Parc des Princes di Paris, Perancis. – AP
Aksi pemain PSG, Angel Di Maria (kiri) dengan pemain daripada Pasukan Metz, Jonathan Rivierez di Stadium Parc des Princes di Paris, Perancis. – AP

“Dia terlalu meletakkan tekanan ke atas dirinya. Dia mempunyai karektor. Jika kami mencipta sebanyak mungkin peluang di masa depan, saya tidak bimbang mengenai soal jaringannya.

“Kesungguhan peminat dalam menuntut sentuhan penyudah lebih tajam daripada Cavani adalah perkara yang bagus.”

Sebelum itu, rayuan penalti Cavani tidak diendahkan pengadil tatkala dia dijatuhkan Georges Mandjeck dan kemudian hanya melihat percubaannya terbias mengenai palang gol pada penghujung separuh masa pertama.

Selepas itu, penyerang berusia 29 tahun itu mempersia-siakan bola muntah hasil percubaan Angel Di Maria dengan kuisan yang dibuatnya tersasar ke tepi. Akibat daripada kegagalan itu menyaksikan Cavani menyepak palang gol dalam keadaan bengang ketika penyokong tuan rumah mula mengejeknya.

Ketika itu, PSG sudah mendahului dengan dua gol selepas Lucas memecah kebuntuan selepas tujuh minit bersambung babak kedua diikuti tandukan Kurzawa hasil sepakan sudut Di Maria pada minit ke-67 memberi kelebihan selesa 2-0.

Pemain gantian, Verratti terus menambah derita skuad pelawat apabila menjaringkan gol ketiga menerusi percubaan dalam kotak penalti ketika minit terakhir perlawanan untuk memastikan PSG kini kekal di tangga kedua liga berkongsi enam mata bersama peneraju Lyon dan Nice ketiga. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA