PSG fokus buru gelaran

PARIS, 12 Jan – Neymar dan Paris Saint-Germain akan meneruskan rentak padunya menuju gelaran Ligue 1 Perancis selepas menghabiskan masa rehat musim sejuk dengan menentang penghuni nombor lima, Nantes hujung minggu ini.

PSG akan berkunjung ke Loire selepas membelasah Rennes 6-1 dalam saingan Piala Perancis dan menewaskan Amiens 2-0 untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga.

Neymar menjadi tumpuan dalam kedua-dua perlawanan tetapi penjaring terbanyak liga, Edinson Cavani tidak beraksi kerana pulang lewat dari cuti tahun baru di Uruguay.

Pemain Argentina, Javier Pastore juga diketepikan dalam perlawanan Rabu lalu selepas lewat kembali dari bercuti di mana kedua-dua pemain menjadi bahan perbualan jurulatih Unai Emery.

Ketua pasukan PSG, Thiago Silva menimbulkan keraguan mengenai masa depan Pastore di kelab itu apabila dia berkata: “Saya percaya Pastore memberitahu kelab bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu tetapi akhirnya mereka tidak mencapai persetujuan.

Emery memberi semangat kepada pemainnya semasa perlawanan menentang Amiens di Stadium Licorne tempoh hari. – AFP

Pastore menafikan dalam sesi temu ramah bersama Yahoo Sports dari Argentina hujung minggu lalu yang mengatakan bahawa dia mahu keluar.

“Saya cintakan Paris dan saya cintakan PSG,” kata Pastore.

“Percaya kepada saya, saya sentiasa setia dengan kelab ini.”

Dengan pertembungan blokbuster bulan depan menentang Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, skuad kendalian Emery akan berkunjung ke Nantes dengan sembilan mata mengatasi juara bertahan Ligue 1 Monaco dan Lyon.

Nantes tidak mampu memberikan yang terbaik apabila menentang PSG sejak 2005 dan kelab kepunyaan Qatar itu menjadi pasukan pilihan untuk memperolehi tiga mata penuh.

Sementara itu, PSG tidak akan beraksi sehingga Ahad malam sekali gus memberi peluang kepada Monaco untuk mengurangkan jurang untuk tempoh 24 jam jika mereka memperolehi kemenangan menentang Montpellier esok.

Skuad kendalian Leonardo Jardim meneruskan tugasnya selepas berjaya menempah slot empat terakhir Piala Liga di mana jaringan daripada Thomas Lemar dan Adama Diakhaby membantu Monaco menewaskan Nice 2-1 baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Monaco nampaknya beraksi tanpa kelibat ketua pasukan, Radamel Falcao yang masih dalam proses pemulihan dari kecederaan paha.

“Anda perlu berhati-hati dengan paha kerana kecederaan seperti itu boleh mengakibatkan tidak beraksi selama enam minggu,” Jardim memberi amaran.

Manakala, bekas juara Lyon akan menerima kunjungan penghuni nombor dua bawah, Angers. – AFP