PSG gigit jari

PSG gigit jari

PARIS, 2 Dis (AFP) – Sembilan kemenangan Paris Saint-Germain dalam aksi Ligue 1 tersekat selepas diikat tanpa jaringan oleh pasukan yang baharu menyertai saingan, Angers dan ia kali ketiga kehilangan mata dialami kelab gergasi Perancis itu musim ini.

Keputusan itu menjadikan penyandang juara liga itu kini mengumpul 42 mata selepas 16 perlawanan tetapi masih unggul mendahului pencabar lain dengan kelebihan 14 mata berbanding pencabar terdekat, Caen.

“Saya fikir semua orang dapat lihat dan kami sedar bagaimana Angers beraksi. Bukan mudah untuk menentang pasukan seperti itu,” kata jurulatih PSG, Laurent Blanc.

“Kunci utama perlawanan ini adalah pada 15 hingga 20 minit pertama. Jika kamu gagal menjaringkan gol pada masa itu, Angers tidak akan berganjak dengan cara mereka.

“Mereka sudah meraih 27 mata dengan cara seperti itu dan kamu perlu berikan pujian kepada mereka.”

Reaksi Ibrahimovic selepas pasukannya seri 0-0 dengan Angers. – AFP
Reaksi Ibrahimovic selepas pasukannya seri 0-0 dengan Angers. – AFP

Dengan masih ada enam perlawanan dalam tempoh 19 hari sebelum cuti musim sejuk, Blanc tidak menyembunyikan hasratnya untuk membuat penggiliran terhadap barisan pemainnya.

Zlatan Ibrahimovic yang kini menyamai pencapaian rekod jaringan kelab 85 gol milik Mustapha Dahleb hanya diletakkan di bangku simpanan ketika peluang diberikan kepada Serge Aurier memulakan aksi buat kali pertama musim ini sejak Oktober.

Blaise Matuidi juga kembali dalam pasukan manakala Andrien Rabiot kekal dengan posisinya di tengah selepas mempamerkan aksi cemerlang sejak kebelakangan ini.

ARTIKEL YANG SAMA