PSG juara Piala Liga Perancis

PSG juara Piala Liga Perancis

PARIS, 24 April – Paris Saint-Germain (PSG) yang terpaksa bermain 10 orang berjaya menewaskan Lille 2-1 pada aksi final Piala Liga Perancis di Stade de France sekali gus menjadikan PSG sebagai juara pertandingan tersebut, awal pagi tadi.

Kemenangan itu meletakkan PSG di landasan terbaik untuk menyapu bersih kesemua trofi domestik ditawarkan.

Juara Ligue 1 itu mendahului permainan lima minit sebelum tamat babak pertama apabila rembatan Javier Pastore melalui di antara kaki Layvin Kurzawa yang berada dalam kedudukan ofsaid sebelum menerjah gawang.

Namun Lille bangkit menyamakan kedudukan selepas rehat menerusi Djibril Sidibe yang menyempurnakan sepakan percuma.

Skuad ibu negara itu bagaimanapun menerima tamparan hebat apabila Adrien Rabiot dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Sofiane Boufal 20 minit sebelum tamat permainan.

Pasukan PSG bergambar ramai bersama piala yang telah mereka menangi. – AFP
Pasukan PSG bergambar ramai bersama piala yang telah mereka menangi. – AFP

Kesilapan penjaga gol Lille, Vincent Enyeama empat minit kemudian membolehkan Angel Di Maria menjaringkan gol kemenangan dan gol ke-15 dirinya musim ini.

Anak buah Laurent Blanc kini sudah menjulang tiga trofi musim ini dengan final Piala Perancis menentang Marseille menanti – kejayaan domestik yang dianggap pengubat hati selepas disingkirkan Manchester City pada suku akhir Liga Juara-Juara.

“Pemain-pemain saya, walaupun 10 menentang 11, tetap mahukan kemenangan dalam perlawanan,” kata Blanc selepas pasukannya memenangi final buat tahun ketiga berturut-turut.

“Kami mempunyai musim untuk ditamatkan dalam liga dan Piala Perancis pada 21 Mei, untuk kami tamatkan dengan cemerlang. Kini kami sudah merangkul Piala Liga, saya harap pemain-pemain akan lebih fokus dan bersemangat untuk Piala Perancis.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA