PSG kukuh di persada liga

PSG kukuh di persada liga

STRASBOURG, 20 Dis (Reuters) – Dua jaringan daripada pemain Argentina, Angel Di Maria membantu Paris Saint-Germain (PSG) melakar kemenangan 3-0 ke atas Caen, sekali gus selesa meninggalkan pasukan di tangga kedua, Monaco, dengan jurang 19 mata.

Di Maria membuka jaringan buat PSG pada minit ke-16 sebelum penjaring terbanyak Ligue 1, Zlatan Ibrahimovic meledak gol kedua PSG menerusi rembatan voli menarik sebelum Di Maria sekali lagi merobek gawang Caen untuk gol kedua PSG lima minit sebelum tamat permainan.

Kemenangan itu membolehkan PSG mengumpul 51 mata sebelum rehat musim sejuk sekali gus memintas rekod terdahulu yang dilakukan Lyon pada 2006 dengan 50 mata.

“Kami berjaya memecahkan rekod, tetapi saya tidak berminat dengan rekod sekadar di pertengahan liga.

Angel Di Maria meraikan golnya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan tersebut. – Reuters
Angel Di Maria meraikan golnya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan tersebut. – Reuters

“Jadi, saya berharap, selepas liga bermula kembali, kami masih mempunyai semangat yang sama kerana dengan cara itu, kami sukar ditewaskan,” kata Laurent Blanc kepada L’Equipe.

Monaco di tangga kedua liga selepas diikat Angers dalam pertembungan yang menyaksikan pemain mereka, Lacine Traore terlepas peluang mendapatkan tiga mata apabila sepakan penaltinya pada minit ketiga berjaya diselamatkan Paul Bernandoni.

Sementara itu, jaringan penyamaan Sofiane Boufal pada minit ke-87 mem-bolehkan Lille mengikat kedudukan 1-1 menentang Toulouse, manakala Stade Rennes menewaskan Guingamp 2-0, dan Bastia mengecewakan Stade De Reims 2-0 di laman sendiri, sementara keputusan seri 0-0 dicatatkan pada aksi Lorient menentang Nantes.