PSG lakar rekod baru

PSG lakar rekod baru

PARIS, 4 Feb – Paris Saint-Germain (PSG) melakar rekod baharu Ligue 1 Perancis, awal pagi tadi apabila meneruskan rentetan tanpa kalah kepada 33 perlawanan dengan membenam Lorient 3-1 di Parc des Princes.

Penyerang kelahiran Uruguay, Edinson Cavani yang disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh Laurent Blanc membalas kepercayaan itu dengan meledak gol pembukaan seawal minit keenam.

Lorient menyamakan kedudukan pada pertengahan babak pertama menerusi Raphael Guerreiro, namun juara Perancis itu membalasnya dengan dua gol pada babak kedua menerusi Zlatan Ibrahimovic, 10 minit separuh masa kedua berlangsung diikuti jaringan ketiga Layvin Kurzawa.

Blanc merombak kesebelasan utamanya pada perlawanan itu dengan melakukan enam perubahan berbanding skuad yang berjaya menyamai rekod 20 tahun yang dipegang Nantes ketika menewaskan Saint-Etienne, Ahad lalu.

“Kami tidak boleh terlalu gembira malam ini, namun rekod itu benar-benar menakjubkan,” kata Blanc dengan skuad bimbingannya kini mengharungi 14 kemenangan berturut-turut.

Ibrahimovic meraikan kemenangan selepas menjaringkan gol dalam perlawanan antara St German menentang Lorient. – Reuters
Ibrahimovic meraikan kemenangan selepas menjaringkan gol dalam perlawanan antara St German menentang Lorient. – Reuters

“Mengenai perlawanan itu sendiri, perasaan saya bercampur baur. Kami tidak mengawal sepenuhnya permainan untuk tempoh tertentu.

“Tetapi saya juga perlu bertanggungjawab. Selepas melakukan penggiliran pemain, adalah normal untuk mendapat beberapa masalah.

“PSG selepas ini dijadual mengharungi pertembungan sengit peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Chelsea pada 16 Februari ini dengan Blanc merasakan masih banyak peningkatan perlu dijana pasukannya.

“Kami sepatutnya menyumbat lebih banyak gol, namun Lorient juga boleh menambah jaringan.

Saya gembira dengan persembahan Cavani, namun secara individu dan juga sebagai satu pasukan, kami boleh melakukan lebih baik, dan ia juga ditujukan kepada saya.

“Pada perlawanan lebih awal, Alexandre Lacazette meledak dua gol ketika membantu Lyon merakam kemenangan 3-0 ke atas Bordeaux yang juga kemenangan kedua kelab itu daripada 11 perlawanan.

Nice dalam pada itu mendaki ke tangga ketiga selepas menewaskan Toulouse 1-0 menerusi jaringan tunggal Hatem Ben Arfa manakala Angers yang terpaksa beraksi 10 pemain tumbang 2-1 di Reims.

Nantes juga meneruskan rentetan tanpa kalah kelab itu kepada 10 perlawanan hasil kemenangan 3-1 ke atas Gazelec Ajaccio manakala Guingamp menewaskan kelab bawahan, Troyes 4-0 dan Lille menang 1-0 ke atas Caen. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA