PSG langkah kanan

PSG langkah kanan

PARIS, 9 Ogos (AFP) – Gol pada babak kedua oleh pemain sayap dari Brazil, Lucas Moura membolehkan Paris Saint-Germain yang bermain dengan 10 orang menang 1-0 ke atas Lille semalam.

Kemenangan itu adalah yang pertama mereka lakukan dalam perlawanan pembukaan Ligue 1 sejak kelab itu diambil alih oleh pemilik baharu dari Qatar pada 2011, di Lille semalam.

Juara Ligue 1 tiga kali itu kehilangan seorang pemain selepas hanya setengah jam perlawanan berlangsung setelah pemain tengah Adrien Rabiot diperintah keluar kerana mendapat kad kuning kedua dalam tempoh lima minit.

Rabiot mendapat kad kuning pertama pada minit ke-22 kerana melakukan asakan bahaya terhadap pemain tengah Lille, Florent Balmont, dan beberapa minit kemudian diarah meninggalkan padang oleh pengadil Fredy Fautrel kerana melakukan kesalahan ke atas pemain pertahanan Sebastian Corchia.

Rabiot, 20, yang bertengkar dengan Zlatan Ibrahimovic sewaktu perlawanan persahabatan menentang Chelsea bulan lalu, lebih dipercayai oleh Laurent Blanc berbanding Thiago Motta walaupun beberapa kali bertengkar dengan jurulatih itu pada penghujung musim lalu.

David Luiz memeluk Lucas Moura selepas rakan senegaranya dari Brazil itu menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Lille di Villeneuve d’Ascq, Perancis semalam. – AFP
David Luiz memeluk Lucas Moura selepas rakan senegaranya dari Brazil itu menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Lille di Villeneuve d’Ascq, Perancis semalam. – AFP

“Ini sebahagian daripada perlawanan. Kad pertama mungkin keterlaluan, yang kedua adalah kesilapan oleh seorang belia – apabila anda ada satu kad kuning, anda tidak mahu dapat yang kedua.

“Kad kedua itu memberi kesan kepada pasukan. Tetapi mungkin disebabkannya kami bermain lebih baik. Tetapi saya lebih suka bermain dengan 11 pemain,” kata Blanc mengenai insiden Rabiot.

Kelab Paris itu sukar untuk mengekang Lille yang menduduki tempat kelapan musim lalu dan bermain perlawanan kompetitif pertama mereka di bawah jurulatih baharu Herve Renard.

Perancang dari Argentina, Javier Pastore mengisi posisi Ibrahimovic yang cedera sementara menunggu pemain baharu Angel Di Maria boleh bermain.

Penjaga gol PSG, Kevin Trapp, yang dibeli daripada Eintracht Frankfurt dengan harga 12 juta euro musim panas ini menjaga gawang, menggantikan pemain Itali, Salvatore Sirigu.

Tetapi nasib malang Rabiot, yang tidak asing dengan kontroversi, telah menyalakan permainan skuad Blanc.

Lucas, yang menjaringkan tujuh gol dalam Ligue 1 musim lalu, akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-57 untuk memberikan PSG kemenangan pertama mereka di tempat lawan dalam perlawanan pembukaan dalam tempoh 19 tahun.

Lucas sebelum itu membuat hantaran kepada Edinson Cavani yang menolak kepada Blaise Matuidi yang kemudiannya mengembalikan bola kepada Lucas untuk menyempurnakan larian solonya di celah pertahanan Lille dan menewaskan penjaga gol Vincent Enyeama.

ARTIKEL YANG SAMA