PSG lebar rekod tanpa kalah

PSG lebar rekod tanpa kalah

PARIS, 8 Feb – Jaringan menarik Angel Di Maria membantu Paris St Germain (PSG) menang 2-1 ke atas musuh tradisi Olympique de Marseille awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan juara Perancis itu melebarkan lagi rekod tanpa kalah dalam Ligue 1 kepada 34 perlawanan.

Pemain sayap Argentina itu menyumbat gol kemenangan pada minit ke-71 selepas Remy Cabella menyamakan kedudukan 1-1 selepas Zlatan Ibrahimovic meletakkan PSG di depan.

Kemenangan itu menyaksikan barisan Laurent Blanc mengumpul 69 mata daripada 25 perlawanan sekali gus mempunyai kelebihan selesa 24 mata di depan Monaco, yang menewaskan Nice 1-0 di French Riviera, Sabtu lalu. Marseille pula di tangga ke-10 dengan 34 mata.

“Saya tidak tahu sama ada keputusan itu adil, tetapi kami berjaya menang. Ia baik untuk kami beraksi seperti perlawanan ini sebelum turun menentang Chelsea (dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-juara),” kata kapten PSG Thiago Silva.

“Jika kami kekal fokus seperti ini, kami mungkin boleh menamatkan saingan musim ini tanpa kalah.”

Aksi Angel selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Olympique de Marseille sekali gus membantu PSG menang 2-1. – Reuters
Aksi Angel selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Olympique de Marseille sekali gus membantu PSG menang 2-1. – Reuters

Dalam aksi berkenaan, PSG tidak perlu menunggu lama untuk mendahului apabila Ibrahimovic menolak masuk hasil hantaran Maxwell seawal minit kedua.

Marseille, bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi Cabella yang melakukan larian 50 meter dengan bola tanpa dicabar sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang menerjah jaring. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA