PSG, Lille terikat tanpa jaringan

PSG, Lille terikat tanpa jaringan

PARIS, 14 Feb – Perubahan besar yang dilakukan Paris Saint-German (PSG) dalam aksi pemanas badan sebelum menentang Chelsea pada aksi Liga Juara-Juara menyaksikan mereka sekadar seri tanpa jaringan menentang Lille dalam saingan Ligue 1 Perancis, awal pagi tadi.

Edinson Cavani memiliki peluang terbaik mengekalkan rentak cemerlang PSG, sebaliknya percubaan yang dilakukan tersasar ketika pintu gol sudah ternganga pada babak kedua.

Keputusan seri itu menyaksikan PSG gagal melebarkan rekod 16 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, tetapi skuad kendalian Laurent Blanc mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Ligue 1 kepada 35 perlawanan sejak Mac tahun lalu.

Bagi Lille, keputusan seri itu harus menyuntik semangat mereka untuk mengelak tercicir ke zon penyingkiran, dengan PSG merehatkan empat tonggak, Zlatan Ibrahimovic, kapten Thiago Silva, Thiago Motta dan Maxwell sebagai persediaan untuk bertemu Chelsea dalam aksi 16 terbaik pertama di laman sendiri, Rabu ini.

“Kami perlu mengelak daripada kecederaan dan kami sudah lakukan. Malangnya, kami hilang dua mata. Kami ada lima atau enam peluang terbaik untuk menyumbat gol, tetapi Lille tidak putus asa dan saya tetap puas hati,” kata Blanc. – AFP

Edinson Cavani dikawal rapat oleh pemain pertahanan Lille. – AFP
Edinson Cavani dikawal rapat oleh pemain pertahanan Lille. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA