PSG masih perlukan Aurier

PSG masih perlukan Aurier

PARIS, 21 Feb (AFP) – Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Blaise Matuidi memberi sokongan kepada rakan pasukannya Serge Aurier dengan menegaskan betapa pasukan pendahulu Ligue 1 itu ‘memerlukannya, sama ada di padang mahupun di luar’.

“Serge adalah rakan saya dan rakan kepada semua dalam bilik persalinan. Dia disenangi ramai,” kata Matuido selepas PSG menewaskan Reims 4-1 di Parc des Princes semalam.

“Kami tahu dia ada melakukan kesilapan, apa lagi semua orang pun sering melakukan kesilapan. Dia sudah meminta maaf. Dia akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih dan kami harap ia akan membuahkan keputusan positif.”

Aurier digantung PSG pada minggu lalu selepas muncul dalam satu video di laman sosial media Periscope di mana dia menghina jurulatih PSG, Laurent Blanc dan beberapa rakan pasukannya yang lain.

Dia akan bertemu dengan hiraki kelab esok ketika spekulasi terus bertiup kencang betapa PSG tidak akan menurunkan Aurier lagi dan dikatakan bakal menjual pemain kebangsaan Ivory Coast itu pada musim panas ini.

Serge Aurier dalam satu perlawanan bersama PSG. Aurier digantung PSG selepas muncul dalam satu video di laman sosial media Periscope dengan menghina Laurent Blanc dan beberapa rakan pasukannya yang lain. – Reuters
Serge Aurier dalam satu perlawanan bersama PSG. Aurier digantung PSG selepas muncul dalam satu video di laman sosial media Periscope dengan menghina Laurent Blanc dan beberapa rakan pasukannya yang lain. – Reuters

Namun Matuidi berkata, “Kami memerlukan dia, sama ada di padang ataupun di luar padang kerana dia disenangi ramai.

“Namun ia sama seperti Zlatan (Ibrahimovic), yang kontraknya tamat pada penghujung musim ini, saya bukan presiden dan saya juga bukan jurulatih. Saya bercakap sebagai seorang pemain dan juga rakan kepada Serge.”

Aurier, 23, dilihat menjalani latihan secara sendiri di Geneva, di mana ejennya Stephane Courbis berpangkalan, lapor Le Parisien.

Dia kemungkinan dipecat PST namun kelab tampak sukar untuk memilih langkah itu memandangkan mereka boleh menjual pemain itu dengan nilai 25 juta euro.

Pemenang Piala Afrika bersama pasukan Ivory Coast tahun lalu itu mula menyertai PSG menerusi pinjaman dari Toulouse pada 2014 sebelum diikat penuh pada musim panas lalu.

ARTIKEL YANG SAMA