PSG tawan puncak L1

PSG tawan puncak L1

PARIS, 21 Sept – Paris Saint-Germain menamatkan permulaan kurang memberangsangkan musim ini dengan mengatasi Monaco di persada Ligue 1 menerusi rutin kemenangan 3-0 mengatasi Dijon awal kelmarin.

Kekalahan 3-1 pada awal musim kepada Monaco menyaksikan tempoh bulan madu bos baru, Unai Emery terpaksa dipendekkan dan kemudian PSG melepaskan gol penyamaan lewat di laman sendiri kepada Saint Etienne dalam perlawanan seterusnya sebelum seri berdepan Arsenal di Eropah.

Namun mereka membelasah Caen 6-0 di tempat lawan minggu lalu dan melakukan perkara sama berdepan pasukan bergelut Dijon – yang tidak melakukan sebarang cubaan berbahaya – hasil jaringan sendiri, penalti Edinson Cavani dan tandukan Lucas.

PSG buat pertama kali menduduki persada liga musim ini menerusi perbezaan gol selepas enam perlawanan, namun kedudukan mereka tidak akan bertahan lama dengan Monaco dan Nice – kedua-duanya masih belum tewas – akan berdepan sesama sendiri awal pagi esok.

“Kemenangan ini adalah satu kemaraan, walaupun hari ini saya melihat masih banyak perkara perlu diperbaiki,” kata Emery.

Reaksi Cavani selepas menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Dijon di stadium Parc des Princes kelmarin. – AFP
Reaksi Cavani selepas menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Dijon di stadium Parc des Princes kelmarin. – AFP

“Hari ini kami menang 3-0 dan bagi saya ia sangat penting tidak melepaskan sebarang gol. Berdepan pasukan yang banyak bertahan, ia memerlukan kesabaran.”

Buat kali ketiga berturut-turut Emery meninggalkan Hatem Ben Arfa dalam apa yang dipanggilnya sebagai ‘keputusan sukan semata-mata’ tetapi perancang itu tidak terlepas daripada menyertai juara bertahan itu berlatih di Parc des Princes.

Pasukan Paris itu menguasai permainan tetapi pasukan pelawat mendahului pada suku jam apabila hantaran pemain dari Brazil Maxwell terpesong selepas terkena pemain pertahanan Adam Lang dan melambung ke dalam jaring.

PSG mendahului 2-0 pada minit ke-27 melalui sepakan penalti Cavani selepas Adrien Rabiot dikasari di dalam kawasan itu.

Semua harapan untuk kebangkitan semula Dijon padam pada pertengahan babak kedua selepas Maxwell sekali lagi hantarannya ditanduk Lucas yang tidak dikawal. – AFP