PSG teruskan kecemerlangan

PSG teruskan kecemerlangan

LVIV, Ukraine, 1 Okt (AFP) – Paris Saint-Germain mengekalkan permulaan tanpa kalah mereka musim ini semalam selepas mengatasi pasukan dari Ukraine, Shakhtar Donetsk 3-0 dalam aksi Kumpulan A Liga Juara–Juara.

Laurent Blanc menyaksikan permulaan sempurna dalam kempen juara Perancis itu, dan jaringan separuh masa pertama pertahanan Ivory Coast, Serge Aurier dan pertahanan Brazil, David Luiz meletakkan pasukan suku akhir musim lalu itu dalam kawalan meneruskan kempen mereka.

Zlatan Ibrahimovic membantu menghasilkan serangan mengejut pada minit ke-90 selepas menerima hantaran pemain gantian Javier Pastore yang menyaksikan kapten pasukan Sweden itu membuat larian selepas berjaya mengatasi kapten Shakhtar, Darijo Srna.

Midfield PSG, Blaise Matuidi menghasilkan satu lagi persembahan bertenaga dan berkata perlawanan itu dimenangi selepas 45 minit pembukaan yang hebat bagi pasukan Blanc.

“Kami mempamerkan kekuatan pada separuh masa pertama dan mengawal perlawanan tetapi Shakhtar adalah pasukan yang bagus di laman sendiri,” kata pemain antarabangsa Perancis itu.

Penjaga gol Shakhtar Andriy Pyatov (kiri) hanya mampu menyaksikan bola tandukan Serge Aurier (tengah) menggegar gawang semasa aksi Liga Juara-Juara Kumpulan A di stadium Arena Lviv di Ukraine, semalam. – Reuters
Penjaga gol Shakhtar Andriy Pyatov (kiri) hanya mampu menyaksikan bola tandukan Serge Aurier (tengah) menggegar gawang semasa aksi Liga Juara-Juara Kumpulan A di stadium Arena Lviv di Ukraine, semalam. – Reuters

“Kami bekerja keras dan berpeluang untuk menamatkan permainan pada separuh masa kedua tetapi ia adalah persembahan yang bagus menentang pasukan yang sukar disaingi.

“Kami malam ini (Rabu) menunjukkan Paris Saint-Germain adalah pasukan yang besar dan memenangi perlawanan dengan persembahan besar pada separuh masa pertama menentang pasukan Shakhtar yang bagus.

“Kami mula mengumpulkan keputusan dan sekarang dua kemenangan daripada dua perlawanan dalam Liga Juara–Juara adalah apa yang kami perlukan,” tambah Matuidi.

Jaringan pembukaan tiba selepas tujuh minit di Arena Lviv, di mana Shakhtar menghoskan perlawanan itu kerana konflik yang berterusan sekitar Donetsk di timur negara itu.

Aurier berada dalam kotak penalti dan melompat di atas pertahanan statik Shakhtar untuk membuat tandukan tajam ke bawah gawang menewaskan penjaga gol Andriy Pyatov.

Champions League