PSG ubati kekalahan Liga Juara-juara

PSG ubati kekalahan Liga Juara-juara

PARIS, 17 April (Reuters) – Penyerang sensasi Paris St Germain (PSG), Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol untuk mengubat kekecewaan PSG di pentas Liga Juara-Juara apabila menewaskan Caen 6-0 dalam aksi Ligue 1, semalam.

PSG yang sudah pun mengesahkan kejuaraan liga elit Perancis itu bulan lalu kini mengumpul jurang besar 30 mata di puncak liga dengan Olympique Lyonnais di tangga kedua.

Kelab itu sebelum ini dikecewakan dengan penyingkiran dalam kempen Liga Juara-Juara kepada kelab Inggeris, Manchester City yang mara ke peringkat empat terbaik menerusi keputusan agregat 3-2.

Tampak tidak mahu memberi peluang kepada lawan, selain dua gol Ibrahimovic, Blaise Matuidi, Edinson Cavani, Angel Di Maria dan Maxwell turut menyumbang jaringan ketika menentang kelab di kelompok pertengahan liga itu.

Kemenangan menyaksikan skuad bimbingan jurulatih, Laurent Blanc itu mengumpul 86 mata dan hanya kurang satu mata daripada rekod jumlah mata terbanyak yang pernah dipegang kelab itu ketika muncul juara sebelum ini.

Aksi Ibrahimovic dan Angel di Maria dalam perlawanan tersebut. – AP
Aksi Ibrahimovic dan Angel di Maria dalam perlawanan tersebut. – AP

“Kemenangan tidak membantu kami untuk melupakan kekalahan kepada Manchester City namun kami perlu terus berjuang, kerana satu-satunya cara kami dapat mengatasinya ialah dengan menang,” kata pertahanan PSG, Marquinhos.

Peledak terbanyak kelab itu, Ibrahimovic yang bergelut ketika bertemu City membuka tirai jaringan pada minit ke-12 untuk mengumpul keseluruhan 31 gol sepanjang kempen Ligue 1 musim ini.

Matuidi menambah gol kedua PSG ketika masa kecederaan babak pertama sebelum kelab itu menambah lima lagi gol bermula dengan jaringan Cavani (m49), Di Maria (m52) diikuti jaringan kedua peribadi Ibrahimovic (m56) dan Maxwell (m76).

Dalam pada itu, Marquinhos turut mencipta kontroversi ketika menjawab soalan yang mengatakan liga elit Perancis itu terlalu mudah.

“Ligue 1 terlalu mudah? Saya tidak boleh mengatakannya di depan kamera televisyen,” kata Marquinhos.