PSG yakin buru kejuaraan Eropah

PSG yakin buru kejuaraan Eropah

PARIS, 7 Ogos (AFP) – Paris Saint-Germain yakin Angel Di Maria boleh membantu mereka menakluki Eropah selepas selesai melengkapkan perjanjian pemain sayap Argentina itu semalam.

Pemain berusia 27 tahun itu menandatangani kontrak empat tahun di Parc des Princes selepas PSG bersetuju untuk membayar Manchester United 63 juta euro (AS$68.9 juta) untuk melakar perpindahan kedua paling mahal dalam sejarah bola sepak Perancis.

Apabila terlepas daripada kekangan Peraturan Adil Kewangan selepas UEFA melonggarkan peraturan kontroversi awal musim panas ini, juara Perancis itu berbelanja besar lagi sejak membayar 64 juta euro untuk menandatangani Edinson Cavani dari Napoli pada Julai 2013.

Pasukan Laurent Blanc melengkapkan dominasi domestik musim lalu apabila menyapu bersih semua penghormatan dalam negara dengan memenangi Ligue 1, Piala Perancis dan Piala Liga selepas menggondol Trofi Juara-Juara pada pembukaan musim dengan menewaskan pencabar terdekat musim lalu, Lyon 2-0.

Skuad PSG sudah cukup baik untuk memenangi lebih banyak gelaran di tanah air tetapi pemilik Qatar PSG yakin dengan sasaran lama Di Maria boleh membantu mereka menjadi pasukan Perancis pertama sejak Marseille pada 1993 untuk menjadi juara Eropah.

“Ia adalah satu penghormatan sebenar untuk kelab menandatangani Angel dan meneruskan impian hebat Eropah kami. Cita-cita kami seperti yang semua orang tahu adalah Liga Juara-Juara,” kata presiden kelab Nasser Al-Khelaifi.

“Kami hampir dengan impian kami. Kami akan cuba lagi tahun ini. Angel benar-benar akan menjadi tambahan kepada pasukan, terutamanya dalam Liga Juara-Juara. Saya harap dia boleh menang bersama kami.”

Paris telah berjaya ke suku akhir Liga Juara-Juara dalam tiga musim lalu, dengan dua kekalahan pada peringkat sama kepada Barcelona dan tewas jaringan luar kepada Chelsea pada 2014.