PSI catat bacaan tertinggi

PSI catat bacaan tertinggi

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 14 Mac – Asap tebal telah menjejaskan beberapa kawasan di Kampung Sungai Teraban, Kampung Mumong, Kampung Pandan dan Pekan Kuala Belait dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 84, awal pagi tadi.Walaupun bacaan PSI yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Brunei Darussalam pada jam 9 pagi tadi itu pada tahap sederhana, ia merupakan catatan tertinggi bagi tahun ini.

Jerebu yang melanda kawasan tersebut adalah akibat daripada kebakaran hutan yang menjejaskan sebahagian kawasan di Sungai Tujoh serta asap tebal daripada kebakaran hutan di daerah negara jiran.

Tinjauan Media Permata dari pagi hingga lewat petang tadi mendapati operasi memadam serta mengawal api kebakaran giat dijalankan oleh anggota Pasukan C, Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuala Belait yang diketuai oleh Pegawai Balai SO Awang Azami bin Haji Ali.

Semasa ditemui pagi tadi, Awang Azami berkata, pasukan C yang bertugas di kawasan Sungai Tujoh dibahagikan kepada dua pasukan kecil, satu di KM7 dan satu lagi di KM8 bagi memantau serta mengawal kebakaran di sana.

Anggota bomba dan penyelamat ketika memadamkan kebakaran di kawasan Sungai Tujoh.
Anggota bomba dan penyelamat ketika memadamkan kebakaran di kawasan Sungai Tujoh.

“Pada masa ini, cuaca panas dan angin yang bertiup kencang menyukarkan lagi usaha kakitangan di sini bagi memadam dan mengawal kebakaran yang tidak menentu, maka tumpuan diberi untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berdekatan dengan jalan raya yang boleh mengancam pengguna jalan raya di sini serta daripada merebak ke stesen minyak yang berhampiran, namun dengan adanya sumber air dari sistem perparitan yang berdekatan kami berjaya menangani keadaan tersebut,” jelasnya.

Beliau menambah, kebakaran di kawasan terpencil hutan Sungai Tujoh pula menyukarkan usaha mereka untuk mencapai ke tempat tersebut bagi mengurangkan asap tebal akibat api marak yang keluar dari tanah gambut yang kering. Walau bagaimanapun, anggota mereka akan sentiasa memantau serta bersedia bagi menangani sebarang situasi yang teruk daripada berlaku.

Superintenden Kanan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait, Awang Mohd Shahreeni bin Haji Mohd Yusof menerusi temu bual telefon pula mengesahkan bahawa tahap PSI yang dicatatkan itu adalah akibat daripada angin yang bertiup kencang dari kawasan kebakaran di Sungai Tujoh yang telah menjejaskan sekitar 10 hektar kawasan di sana serta dari Miri, yang mana angin kuat membawa asap jerebu ke kawasan darat.

Bacaan PSI terakhir yang dicatatkan bagi hari ini pada jam 4 petang tadi berkurangan kepada paras 39.

ARTIKEL YANG SAMA