PSI: Sokongan semua pihak

PSI: Sokongan semua pihak

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Azaraimy HH

 

TUTONG, 6 Ogos – Hasil dapatan awal daripada kajian mengenai kesan Peraturan Cuti Beranak 2011 terhadap amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif di kalangan wanita yang bekerja telah menunjukkan peningkatan keseluruhan bagi wanita-wanita di Negara Brunei Darussalam.

“Pada tahun 2012, 35 peratus ibu-ibu telah memberikan penyusuan susu ibu (PSI) secara eksklusif kepada anak damit mereka dalam enam bulan pertama dan kadar ini Alhamdulillah telah meningkat kepada 41 peratus pada tahun 2013.”

“Pada masa yang sama, kajian ini juga menunjukkan peningkatan kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif di kalangan ibu-ibu yang bekerja iaitu daripada 33 peratus pada tahun 2012 kepada 37 peratus pada tahun 2013.”

Hasil dapatan yang memberangsangkan itu dikongsi oleh Pengarah Perkhidmatan Hospital, Dr Hajah Lailawati binti Haji Jumat di Majlis Pengagihan Nursing Covers dan Lencana-lencana sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015 bagi Daerah Tutong.

Keputusan yang sangat memberangsangkan itu, menimbulkan azam dan semangat yang padu kepada Kementerian Kesihatan untuk meneruskan lagi sasaran kebangsaan meningkatkan kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada 50 peratus menjelang 2020, tambahnya lagi di majlis yang berlangsung di Ruang legar, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, hari ini.

Dr Hajah Lailawati menyampaikan lencana kepada bidan dan jururawat di majlis itu.
Dr Hajah Lailawati menyampaikan lencana kepada bidan dan jururawat di majlis itu.
Dr Hajah Lailawati menyampaikan Nursing Cover kepada salah seorang ibu yang mengamalkan PSI.
Dr Hajah Lailawati menyampaikan Nursing Cover kepada salah seorang ibu yang mengamalkan PSI.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus berusaha memantapkan lagi pelaksanaan pelbagai kegiatan dalam mempromosi, menyokong dan melindungi amalan penyusuan susu ibu terutama sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia dan dengan mengadakan ceramah-ceramah kesihatan yang berkaitan penyusuan susu ibu.

“Walau bagaimanapun, kerjasama erat dan sokongan padu semua pihak termasuk ibu bapa, keluarga, masyarakat, tempat kerja serta pihak swasta adalah sangat-sangat diharapkan demi mempermudahkan ibu-ibu memberikan penyusuan susu ibu.”

Di majlis berkenaan, Dr Hajah Lailawati menyempurnakan penyampaian lencana Breastfeeding Advisor (Penasihat Penyusuan susu ibu) kepada bidan dan jururawat yang telah mengikuti Kursus PSI 20 dan 48 Jam dan juga menyampaikan Nursing Cover kepada ibu-ibu.

Sambutan bagi 2015 yang membawa tema, Penyusuan Susu Ibu dan Pekerjaan: Mari Merealisasikannya!, menekankan pentingnya untuk mengekalkan dan meneruskan penyusuan susu ibu bagi ibu-ibu yang bekerja.

Minggu Penyusuan Susu Ibu itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan memperkukuhkan lagi kefahaman orang ramai akan pentingnya PSI ke arah pembangunan insan yang mulia, sihat, cerdas, yakin, taat, penyayang dan rapat dengan ibu bapanya.

Selain itu, amalan PSI juga menjamin sekuriti makanan rumah kerana ibu bapa tidak perlu untuk mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi pembelian produk-produk gantian susu ibu.