Psikosis daripada pengaruh dadah membimbangkan

Psikosis daripada pengaruh dadah membimbangkan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Psikosis atau masalah kelakuan yang berkaitan dengan penggunaan barang-barang diharamkan, terutama yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah Methylamphitamine, atau syabu, merupakan penyakit kecelaruan mental yang paling membimbangkan pada masa ini.

Ini kerana, sejumlah besar mereka yang menghidap kecelaruan mental akibat penyalahgunaan dadah tidak dapat dikesan kerana tidak direkodkan dan menular dengan pantas dalam kalangan golongan remaja dan belia.

Perkara itu dimaklumkan oleh Konsultan dan Ketua Jabatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Hilda Ho, ketika menjawab pertanyaan pada sesi soal jawab Taklimat Berhubung Dengan Isu Orang Bercelaru Mental yang berlangsung di Dewan Serba Guna Balai Polis Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Memerintah Daerah Polis Brunei dan Muara, Superintenden Husaini bin Matzin.

Menurut Dr Ho, psikosis yang melibatkan perlakuan ganas pesakit di bawah pengaruh dadah adalah salah satu daripada tiga penyakit kecelaruan mental terbesar, di samping skizofrenia, kemurungan dan keresahan, yang dihidapi pesakit yang menerima rawatan di hospital-hospital di negara ini.

Tetamu kehormat (kiri sekali) mendengar taklimat mengenai kecelaruan mental.
Tetamu kehormat (kiri sekali) mendengar taklimat mengenai kecelaruan mental.
Pengiran Dr Fariza Suryani (kanan) menyampaikan taklimat disamping Dr Hilda Ho.
Pengiran Dr Fariza Suryani (kanan) menyampaikan taklimat disamping Dr Hilda Ho.

Beliau menjelaskan, Hospital RIPAS merawat sekitar 200 orang pesakit sementara Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait merawat kira-kira 60 pesakit pada masa ini.

Sementara itu, taklimat mengenai ‘Isu Orang Bercelaru Mental’ yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Kanan, Jabatan Psikiatri, Hospital RIPAS, Pengiran Dr Fariza Suryani binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani telah menyentuh mengenai Perintah Kesihatan Mental 2014 yang mula dikuatkuasakan pada 1 November 2014.

Katanya, perintah baru yang menggantikan Akta Gila 1929 itu adalah hasil usaha sama antara Kementerian Kesihatan dan Jabatan Peguam Negara dan telah menjalani proses terperinci perundingan pihak yang berkepentingan bagi memastikan pematuhan dengan prinsip-prinsip syariah dan undang-undang yang sedia wujud.

Beliau berkata, istilah ‘gila’ merupakan istilah yang menghina dan tidak membantu mengurangkan stigma sosial kerana definisi itu tidak jelas dan boleh menyebabkan kekeliruan.

Sehubungan itu, istilah ‘Kecelaruan Mental’ digunakan kerana ia bermaksud apa-apa penyakit mental, perkembangan minda yang terbantut atau tidak sempurna, kecelaruan psikiatri atau ketidakdayaan minda lain, tidak kira bagaimanapun diperoleh.

Menurutnya lagi, secara umumnya, penyakit kecelaruan mental akan mendapat perhatian orang ramai dan pihak polis apabila pesakitnya berkelakuan ganas dan mengamuk serta menyebabkan kecederaan kepada diri dan orang ramai, menyebabkan kerosakan harta benda dan berkelakuan ganjil dan mengganggu ketenteraman orang ramai.

Ujarnya, kerjasama dengan agensi-agensi yang berkepentingan sangat penting terutama kerjasama dan pertolongan daripada pihak polis yang amat diperlukan jika seseorang pesakit itu tidak bersetuju untuk datang ke hospital atau menimbulkan risiko keganasan.

Kerjasama itu penting bagi melindungi keselamatan pesakit, kakitangan kesihatan, keluarga pesakit serta orang ramai dan juga bagi memastikan pemindahan pesakit secara cekap dan selamat.

Pada taklimat itu, Pengiran Dr Fariza Suryani turut menerangkan mengenai peruntukan undang-undang di bawah Kanun Peraturan Jenayah dan Perintah Kesihatan Mental 2014 yang katanya, sekiranya orang yang disyaki bercelaru mental itu telah melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan besar yang memerlukan penilaian, maka lebih baik dilakukan dengan menggunakan Kanun Peraturan Jenayah.

Beliau menjelaskan, tahanan di bawah Kanun Peraturan Jenayah ialah sekiranya pesakit itu terlalu agresif atau mempunyai risiko keganasan terlalu tinggi maka kes seperti itu tidak selamat untuk dinilai dan dirawat di wad hospital.

Maka, adalah lebih baik pesakit itu dirawat di penjara atau tempat yang lebih selamat dan pakar-pakar dari Jabatan Psikiatri akan melawat pesakit di sana, ujar beliau.

Turut diterangkan dalam taklimat itu ialah perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Psikiatri Hospital RIPAS serta jumlah pegawai perubatan, kakitangan dan tenaga kerja yang menggerakkan jabatan itu.

Taklimat itu dihadiri oleh kira-kira 80 orang pegawai dan anggota polis dari balai polis sekitar Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA