PSR 20 hari lagi – yakin dengan persiapan

PSR 20 hari lagi – yakin dengan persiapan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Bagi memantapkan jasmani, emosi, rohani dan intelektual supaya pelajar dapat menghadapi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dengan tenang dan bersemangat, Sekolah Arab Sungai Akar telah mengadakan ceramah motivasi di Dewan Serba Guna Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Sungai Akar, hari ini.

Seramai 284 orang pelajar Tahun 6 telah mendengarkan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Penceramah Undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Isham bin Ismail. Terdahulu, acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awangku Abdul Azizil Hakim bin Pengiran Haji Kamaluddin, dan diteruskan dengan ucapan ringkas Pengetua Sekolah Arab Sungai Akar, Dayangku Hajah Radiah binti Pengiran Haji Mohd Tahir.

Dayangku Hajah Radiah dalam ucapannya berkata, program motivasi ini merupakan salah satu inisiatif sekolah untuk memberikan semangat kepada pelajar-pelajar dan meningkatkan keyakinan diri serta fokus untuk menduduki peperiksaan yang tidak lama lagi akan dihadapi yang hanya tinggal 20 hari lagi.

“Setentunya, dalam masa hanya tinggal 20 hari, pelajar-pelajar sudah mempunyai persiapan yang rapi dan mantap serta mengurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti bermain ‘game’ dan menonton TV dalam masa yang panjang.

“Di samping itu, pihak sekolah mengharapkan agar penuntut-penuntut dapat meningkatkan pencapaian dari satu penilaian ke satu penilaian yang lain. Contohnya, dalam penilaian CPA 4 mencapai pangkat E atau D, maka hendaklah mereka meningkatkan pencapaian yang lebih baik daripada sebelumnya,” tambahnya lagi.

Awang Isham ketika memberikan ceramah motivasi kepada pelajar Tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan PSR.
Awang Isham ketika memberikan ceramah motivasi kepada pelajar Tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan PSR.
 Para pelajar Tahun 6 Sekolah Arab Sungai Akar ketika mendengarkan ceramah motivasi, kelmarin.
Para pelajar Tahun 6 Sekolah Arab Sungai Akar ketika mendengarkan ceramah motivasi, kelmarin.

Pengetua Sekolah Arab Sungai Akar juga menyuarakan kepada pegawai-pegawai dan guru yang mengajar dan membimbing pelajar-pelajar Tahun 6 supaya akan dapat memastikan semua pelajar dalam keadaan bersiap sedia dan mempunyai pengetahuan yang mantap bagi menghadapi peperiksaan dan jangan merasa jemu dalam mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar.

Awang Isham dalam ceramahnya telah menasihatkan kepada para pelajar untuk menghormati guru selain menghormati ibu bapa agar apa yang dipelajari di sekolah akan mendatangkan berkat kepada para pelajar dalam menghadapi peperiksaan yang akan datang.

Selain itu, beliau juga menekankan mengenai niat yang menurutnya penting ketika datang ke sekolah dan bukannya disalah guna kepada benda-benda yang tidak berfaedah, akan tetapi untuk belajar demi mencapai kejayaan dalam peperiksaan PSR.

“Sepatutnya kamu mengulang kaji bukanlah di saat-saat peperiksaan akan tiba, akan tetapi sejak di awal bukanya persekolahan lagi,” nasihat beliau.

Awang Isham juga memberikan tip-tip untuk berjaya iaitu 3B dan 3M, yang mana 3B ialah ‘Bekarih’ iaitu berusaha, ‘Bejarih’ dalam menuntut ilmu dan akhirnya pelajar akan ‘Belurih’ iaitu memperolehi kejayaan selepas menghadapi peperiksaan.

Manakala itu, 3M pula ialah Mulai daripada diri sendiri (bukanlah mengharapkan orang di sekeliling kita untuk memulakan sesuatu), Mulai daripada yang kecil iaitu belajar sedikit demi sedikit, dan juga Mulai daripada saat ini (mulai sekarang tanpa melengahkan masa).

ARTIKEL YANG SAMA