PSTNT sertai Liga Super Thailand

PSTNT sertai Liga Super Thailand

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos (Bernama) – Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) buat julung kalinya mengambil bahagian dalam kejohanan Liga Super Thailand di Bangkok, bermula 29 Julai hingga 5 Disember ini.

Presiden PSTNT, Mohd Shapian Ali berkata, persatuan menyenaraikan 12 pemain di bawah umur 21 tahun untuk membawa cabaran Terengganu di kejohanan itu.

“Skuad itu sudahpun bertolak ke Bangkok minggu lepas dan mereka akan bergabung dengan kelab Nakhon Patom untuk liga itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Shapian berkata pasukan gabungan tersebut dikendalikan bekas jurulatih Malaysia, Prawet Intra dan dibantu jurulatih Terengganu yang berasal dari Thailand, Vitaya Boonthal.

Beliau berkata tujuan Terengganu menyertai liga itu ialah untuk memberikan pendedahan kepada pemain muda kepada kejohanan luar negara.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan mutu permainan sepak takraw di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya agar setanding dengan Thailand.

Beliau berkata, pada masa sama, pemain Terengganu itu juga akan mengambil bahagian dalam kejohanan lain di Bangkok bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Mohd Shapian juga berkata bekas pemain kebangsaan, Futra Abd Ghani telah dilantik sebagai pemantau pasukan itu.

Beliau berkata setelah seminggu menjalani latihan intensif di kelab Nakhon Patom, prestasi dan mental pemain Terengganu telah menunjukkan peningkatan.

ARTIKEL YANG SAMA