PSV, Atletico buntu tanpa gol

PSV, Atletico buntu tanpa gol

EINDHOVEN, 25 Feb (AFP) – PSV Eindhoven yang bermain 10 pemain berjaya mengikat Atletico Madrid 0-0 dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal semalam, sekali gus memberikan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan untuk mara ke suku akhir.

Atletico mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan sebelum tamat babak pertama tetapi Luciano Vietto dan Antoine Griezmann terlepas peluang terbaik apabila berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol PSV, Jeroen Zoet.

PSV terpaksa menamatkan baki 20 minit perlawanan dengan 10 pemain apabila Gaston Pereiro dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.

Bagaimanapun, Atletico gagal menggunakan kelebihan itu yang menyaksikan peluang 50-50 untuk kedua-dua pasukan ke suku akhir apabila mereka bertemu untuk aksi kedua di Vicente Calderon 15 Mac depan.

Midfield PSV, Davy Propper (kiri) menerjah midfield Atletico Madrid, Gabi pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Philips, Eindhoven kelmarin. – AFP
Midfield PSV, Davy Propper (kiri) menerjah midfield Atletico Madrid, Gabi pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Philips, Eindhoven kelmarin. – AFP

“Sejak dari awal perlawanan, kami memberi tekanan kepada mereka, bermain di kawasan mereka dan mencipta peluang.

“Pada babak kedua kami mengawal perlawanan dan (Jan) Oblak tidak perlu menyelamatkan bola, jadi saya gembira dengan pasukan,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Di sebalik kesukaran anak buahnya menjaringkan gol, Simeone tetap yakin rekod cemerlang mereka di laman sendiri dalam saingan di pentas Eropah akan menyaksikan Atletico mengesahkan slot ke kelompok lapan terbaik buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya tidak suka menipu dan saya bercakap secara jujur. Bermain di laman sendiri, bagaimana saya tidak tenang?” katanya.