PSW buka kelas mengaji Al-Quran

PSW buka kelas mengaji Al-Quran

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Dalam mendukung hasrat untuk menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir, Persatuan Siswazah Wanita (PSW) membukakan Kelas Mengaji Al-Quran secara percuma kepada individu-individu yang berkeperluan.

Pelancaran kelas berkenaan telah diadakan hari ini di rumah No.16 Kampung Mabohai dan disempurnakan oleh Yang Di-Pertua PSW, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaludin.

Atas kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), PSW telah mengenal pasti seramai 12 orang individu bagi mengikuti kelas pertama program ini, yang akan diadakan pada setiap pagi Jumaat dan Ahad dari 8.30 pagi hingga 10.30 pagi.

Pengiran Hajah Zabaidah dalam ucapannya pada majlis itu, menekankan bahawa adalah menjadi hasrat pihak PSW supaya program ini akan dapat berjalan secara istiqamah dan dapat diperkembangkan dari semasa ke semasa untuk melahirkan lebih ramai lagi bilangan individu berkeperluan yang celik membaca Al-Quran di negara ini.

Yang Di-Pertua PSW bergambar ramai bersama individu-individu berkeperluan, tuan rumah dan ahli-ahli PSW.
Yang Di-Pertua PSW bergambar ramai bersama individu-individu berkeperluan, tuan rumah dan ahli-ahli PSW.

Menurutnya lagi, program seperti ini juga diharap akan dapat memupuk generasi yang membudayakan pembacaan Al-Quran sebagai aktiviti seharian untuk mendapatkan keberkatan di dunia dan akhirat.

Kesinambungan dengan itu, pihak PSW juga telah mengungkayahkan Kelas Menghayati dan Memahami Al Quran pada setiap pagi Ahad di Universiti Islam Sultan Sharif Ali, yang telah bermula pada 21 Februari lalu, tambahnya.

PSW merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan pada 5 Februari 1990 dan sejak penubuhannya, persatuan yang mempunyai kira-kira 100 orang ahli yang terdiri daripada ahli-ahli profesional ini, telah banyak kali mengendalikan program dan kegiatan kemasyarakatan, akademik dan profesional sesuai dengan matlamat penubuhannya.

ARTIKEL YANG SAMA