PSW sampaikan sumbangan

PSW sampaikan sumbangan

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 30 Nov – Persatuan Siswazah Wanita (PSW) Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah menyampaikan sumbangan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan dari Sekolah Rendah Orang Kaya Ali Wanika Setia Diraja (SR OKAWSD) Kupang Kluster 4.

Penyampaian sumbangan yang diadakan di SR OKAWSD itu telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PSW Brunei, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin kepada Penolong Pengarah/Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan Awang Nudin bin Haji Mohammad yang kemudiannya menyerahkan sumbangan tersebut kepada Guru Besar SR OKAWSD, Dayang A’zizah binti Haji Awang Layeh.

Menurut Pengiran Hajah Zabaidah, sumbangan tersebut merupakan salah satu projek ‘Selamatkanlah Anak-anak Kitani’ PSW yang mana telah berjalan sejak 20 tahun lalu yang bertujuan untuk memberikan bantuan kewangan kepada para penuntut yang kurang berkemampuan di beberapa buah sekolah di negara ini.

Sumbangan tersebut merupakan hasil daripada PSW Brunei dan juga ahli-ahli persatuan (persendirian) yang diharap dapat dimanfaatkan oleh penuntut-penuntut yang kurang bernasib baik.

Pengiran Hajah Zabaidah juga menjelaskan, walaupun sumbangan yang dihulurkan adalah terhad, memandangkan PSW adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO), namun PSW seperti tahun-tahun sebelumnya pernah mengadakan aktiviti amal seperti mengadakan jamuan teh dan konsert persembahan di mana hasil daripada jualan tiket tersebut disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

Pengiran Hajah Zabaidah menyampaikan sumbangan kepada kepada Guru Besar SR OKAWSD Kupang Kluster 4.
Pengiran Hajah Zabaidah menyampaikan sumbangan kepada kepada Guru Besar SR OKAWSD Kupang Kluster 4.

Beliau berharap kegiatan seperti ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan jawatankuasa baru yang akan dilantik ini nanti akan dapat meneruskan kegiatan amal ini.

PSW merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan pada 5 Februari 1990, yang mana selama 26 tahun penubuhannya, persatuan berkenaan telah mempunyai kira-kira 100 orang ahli yang terdiri daripada ahli-ahli profesional yang mempunyai latar belakang berbeza dan berpendidikan tinggi.

Persatuan ini juga sering kali mengendalikan program dan kegiatan kemasyarakatan, akademik dan profesional antaranya menghulurkan bantuan persekolahan dan keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan.

Antara lain tujuan pertubuhan itu ditubuhkan adalah untuk menyatukan para siswazah di negara ini dan memelihara pertalian profesional dalam kalangan mereka dan mewujudkan forum bagi perbincangan perkara-perkara yang berkaitan dengan wanita dalam perkembangan diri, keluarga, masyarakat dan Negara.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menyusun dan mengendalikan kegiatan-kegiatan bagi meningkatkan penglibatan para siswazah wanita khususnya dan kaum wanita amnya dalam pembangunan negara.

Sementara itu, pagi tadi, PSW juga telah menghulurkan sumbangan wang tunai kepada pesakit kanak-kanak yang tersenarai dalam pengurusan perkhidmatan kebajikan perubatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Penyampaian sumbangan telah diadakan Bilk Sumber, Tingkat 4, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital RIPAS, di mana sumbangan telah diserahkan oleh Pengiran Hajah Zabaidah kepada Ketua Perkhidmatan Kebajikan Perubatan, Dayang Nurul Jannah bini Awang Jumat.

Sumbangan ini adalah sejajar dengan objektif persatuan untuk membantu kanak-kanak dari golongan yang kurang berkemampuan agar dengan adanya sumbangan ini serba sedikit dapat membantu kanak-kanak tersebut dari segi kesejahteraan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA