PTE Meragang Juara Futsal Zon 2

PTE Meragang Juara Futsal Zon 2

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Satu jaringan pada setiap separuh masa oleh Muhammad Kashfi Shafie bin Abdullah Ade Rozli bukan saja menghadiahkan kejuaraan kepada Pusat Tingkatan Enam (PTE) Meragang tetapi juga Anugerah Penjaring Terbanyak Kategori C (Bawah 18 Tahun) buat dirinya dengan jumlah lima gol.

Sementara rakannya, Muhammad Aiman bin Haji Mohammad Amin yang bermain cemerlang mengawal dan merancang pergerakan bola serta kental di bahagian pertahanan diumumkan selaku penerima Anugerah Pemain Terbaik Kategori C Kejohanan Futsal Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Kawasan Zon 2 2016 itu. Semasa perlawanan akhir Kategori C di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) kelmarin itu, Muhammad Kashfi Shafie meledakkan gol pertamanya melalui sepakan percuma pada jarak 10 meter dari gawang lawan hanya beberapa saat sebelum berakhirnya separuh masa pertama.

Sepakan percuma itu beliau sendiri peroleh selepas ketua pasukan Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Abu Bakar (SAB), Muhammad Rahmani bin Rajimi menjatuhkan ketua pasukan PTE Meragang berkenaan sehingga menyebabkan Muhammad Rahmani dilayangkan kad kuning.

Tiga minit selepas rehat, Muhammad Kashfi Shafie sekali lagi menemui sasarannya di gawang lawan untuk menggamatkan dewan dengan sorakan daripada para penyokong PTE Meragang. Ternyata gol itu menjadi gol terakhir perlawanan sekali gus memberikan PTE Meragang kemenangan 2-0.

Tiga pasukan terbaik Kategori C Kejohanan Futsal Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Zon 2, 2016, PTE Meragang (tengah), SM SAB (kanan) & SM SSA (kiri).
Tiga pasukan terbaik Kategori C Kejohanan Futsal Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Zon 2, 2016, PTE Meragang (tengah), SM SAB (kanan) & SM SSA (kiri).

Dalam perlawanan akhir Kategori B (Bawah 15 Tahun) sebelum itu, SM Katok berjaya menundukkan SMSAB dengan jaringan serupa untuk merangkul kejuaraan Kategori B. Daniyal bin Mohd Zinin membuka tirai jaringan SM Katok pada minit ke-7 manakala Mohd Khairul Hafiz bin Haji Ismadi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-17.

Dalam dua perlawanan lebih awal bagi menentukan tempat ketiga, SM Sultan Sharif Ali (SSA) menewaskan Maktab Sains Padukan Seri Begawan Sultan 1-0 untuk muncul pemenang tempat ketiga Kategori C, sementara SM Lambak Kiri memenangi tempat ketiga Kategori B selepas menundukkan SMSSA dengan jaringan serupa.

Menyaksikan keempat-empat perlawanan itu dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah mantan Pengetua SM Katok, Lim Chee Kong, sambil diiringi Ketua Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hasim.

Kejohanan merupakan aktiviti tahunan anjuran JPKK, Kementerian Pendidikan, dan tahun ini SM Katok telah diberikan penghormatan untuk mengendalikannya bagi kawasan Zon 2.

ARTIKEL YANG SAMA