PTE Tutong raikan pelajar cemerlang

PTE Tutong raikan pelajar cemerlang

Oleh Anwar Rosly

Gambar Oleh PTE Tutong

 

BELAIT, 20 Mac – Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong, baru-baru ini, telah meraikan kejayaan para pelajarnya yang cemerlang dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘A’ Level (BC-GCE) Oktober/November 2015 pada majlis yang berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis untuk menyampaikan sijil dan hadiah-hadiah penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang ialah Pemangku Pengarah Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Haji Suhaili bin Haji Abdul Karim.

Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah, dalam ucapan alu-aluannya telah menekankan peningkatan ketara dalam bilangan pelajar-pelajar yang berjaya mencapai gred A hingga C dalam subjek Usuluddin, Syariah, Kimia dan Biologi berbanding dengan tahun sebelumnya.

Menurutnya, mata pelajaran Usuluddin juga mencapai 100 peratus kelulusan ‘A’ Level, manakala itu, empat disiplin lain mencapai lebih 90 peratus kelulusan gred ‘A’ Level iaitu Kimia, Bahasa Melayu, Syariah dan Fizik.

Pada tahun ini, peratusan pelajar mencapai dua Peringkat ‘A’ dan ke atas meningkat daripada 79.00 peratus kepada 86.01 peratus, dan peratus pelajar mendapat sekurang-kurangnya satu ‘A’ Level juga telah meningkat daripada 94.51 peratus kepada 96.37 peratus.

Para pelajar PTE Tutong yang menerima anugerah mereka ketika bergambar ramai.
Para pelajar PTE Tutong yang menerima anugerah mereka ketika bergambar ramai.

Beliau turut menekankan komitmen pihak PTE Tutong untuk memastikan semua penuntut akhirnya akan meninggalkan sekolah dengan sekurang-kurangnya satu ‘A’ Level.

Sementara itu, Haji Suhaili dalam ucapannya pula memuji PTE Tutong atas usaha sekolah yang bersungguh-sungguh untuk memenuhi matlamat Wawasan 2035.

“Saya amat kagum dengan ibu bapa yang berada di sini pada hari ini, kerana galakan dan sokongan anda yang berterusan bagi anak-anak anda. Saya, sebenarnya percaya bahawa ini adalah salah satu faktor yang paling penting dalam menentukan kejayaan akademik mereka sekarang.”

Pada majlis itu, empat kategori anugerah telah disampaikan iaitu Pencapaian Tertinggi Mengikut Mata Tarif BC-GCE ‘A’ Level, Pencapaian Cemerlang dalam BC-GCE ‘A’ Level, Pelajar Terbaik dalam Mata Pelajaran, Hadion’s Mathematics Excellence Award dan Arts and Humanities Scholar Award (AHSA).

Empat orang pelajar telah mencapai tiga gred A dalam Peperiksaan Peringkat GCE ‘A’, 20 orang menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang kerana mencapai tarif mata 300 atau lebih, sementara itu, 14 orang pelajar diberikan penghargaan atas pencapaian individu dalam mata pelajaran tertentu.

Semua tutor yang mengajar kelas 2015/2016 turut menerima pengiktirafan dan penghargaan atas kerja keras mereka.

Anugerah Hadion’s Mathematics Excellence Award 2015 pula diterima oleh Dayang Nurin Nabahah binti A.Arzmi kerana berjaya memperolehi gred A* dalam mata pelajaran Matematik dan markah terbaik.

Mantan Pengetua PTE Tutong, Hadion Lim Beng Guan yang telah bersara, memulakan anugerah tersebut untuk memupuk daya saing dalam kalangan pelajar-pelajar matematik supaya bercita-cita untuk pengiktirafan tertinggi.

ARTIKEL YANG SAMA