Puas hati lawat Destinasi Tutong

Puas hati lawat Destinasi Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Mei – Daerah Tutong mempunyai potensi sebagai destinasi pelancongan dan boleh menjadi tarikan para pelancong.

Perkara ini ditekankan oleh Penyelaras Rombongan Kumpulan Muslimah Halaqah, Datin Hajah Rosni binti Haji Tungkat ketika ditemui selepas lawatan rombongan seramai 30 orang ahli kumpulan berkenaan yang menurutnya amat berpuas hati dengan hasil lawatan di beberapa buah tempat di Daerah Tutong.

Menurut beliau, lawatan berkenaan merupakan kegiatan sampingan mereka dan merasakan bahawa lawatan tersebut sangat berfaedah dan bermanfaat kerana banyak pengetahuan yang diperolehi.

Ini termasuk menyaksikan lebih dekat rumah-rumah warisan etnik Daerah Tutong di Taman Rekreasi Sungai Basong, dan seterusnya melihat kegiatan ekonomi di Daerah Tutong seperti melawat ke Perusahaan Gaharu dan mengenali produk-produk kampung di Daerah Tutong, tambahnya.

Melalui Program Destinasi Tutong, beliau juga mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat dan berharap Daerah Tutong akan lebih maju terutama dalam kegiatan ekonomi dan lebih banyak mengusahakan tempat-tempat yang menarik yang akan menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung, orang ramai dan para pelancong.

Rombongan bergambar ramai sebagai kenangan melawat ke Perusahaan Gaharu.
Rombongan bergambar ramai sebagai kenangan melawat ke Perusahaan Gaharu.
Awang Fariq yang juga pengusaha Gaharu menerangkan mengenai penanaman Gaharu kepada rombongan Muslimah Halaqah.
Awang Fariq yang juga pengusaha Gaharu menerangkan mengenai penanaman Gaharu kepada rombongan Muslimah Halaqah.

Kumpulan Muslimah Halaqah terdiri daripada wanita Islam antarabangsa dari berbagai-bagai negara termasuklah Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Singapura, Itali, United Kingdom, Korea, India dan Pakistan sama ada yang berkahwin dengan orang tempatan atau suami mereka yang bertugas di negara ini.

Tujuan lawatan adalah untuk mengenali budaya dan warisan etnik dan masyarakat Daerah Tutong sekali gus melawat ke tempat-tempat menarik di daerah ini.

Ketibaan kumpulan tersebut di Jabatan Daerah Tutong telah dialu-alukan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas, Jabatan Daerah Tutong, Dayang Siti Joriahati binti Johari berserta kakitangan Jabatan Daerah Tutong, ahli-ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong (BPPPDT) serta beberapa ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong.

Datin Hajah Rosni ketika ditemu bual mengenai lawatan rombongan ke Daerah Tutong.
Datin Hajah Rosni ketika ditemu bual mengenai lawatan rombongan ke Daerah Tutong.

Rombongan telah dibawa melawat ke Galeri 1K1P (Satu Kampung Satu Produk) Daerah Tutong, di Jabatan Daerah Tutong di mana mereka dialu-alukan dengan persembahan tausyeh, demonstrasi pembuatan kuih rangin dan tulisan jawi.

Seterusnya, rombongan dibawa melawat ke Taman Rekreasi Sungai Basong Tutong bagi menyaksikan dengan lebih dekat lagi rumah-rumah warisan etnik Daerah Tutong dan melihat secara dekat tanaman herba yang terdapat di taman tersebut.

Sebelum mengakhiri lawatan, rombongan turut berkesempatan menyaksikan perusahaan Kayu Gaharu di Kampung Bukit Panggal, daerah tersebut, yang diusahakan oleh Pengurus Perusahaan Cahaya Gaharu Plantation, Awang Mohd Ayub bin Suhaili.

Rombongan juga diberi penerangan ringkas mengenai perusahaan tersebut oleh Awang Fariq bin Haji Mohd Noor dan berkesempatan melawat tempat pemprosesan minyak harum gaharu serta produk-produk lain yang dihasilkan.