Public Bank bekerjasama dengan bank Jepun

Public Bank bekerjasama dengan bank Jepun

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) – Public Bank Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Saitama Resona Bank dan Kinki Osaka Bank untuk menggalak dan mengukuhkan kerjasama antara bank masing-masing.

MOU itu juga akan memudahkan pembangunan bersama peluang perniagaan atas dasar kesaksamaan dan saling memberi manfaat, kata bank itu dalam satu kenyataan.

Saitama Resona Bank dan Kinki Osaka Bank ialah anak syarikat milik penuh Resona Holdings yang juga memiliki Resona Bank, kumpulan perbankan keempat terbesar di Jepun dengan operasi perniagaan kukuh di Tokyo dan wilayah Kansai.

Kerjasama perniagaan dengan Saitama Resona Bank dan Kinki Osaka Bank itu akan memberikan manfaat yang lebih besar kepada pelanggan Public Bank.

Public Bank berkata kerjasama itu juga akan mengukuhkan sokongan perkhidmatan perbankan kepada pelanggan Saitama Resona Bank dan Kinki

Osaka Bank, terutamanya dalam pasaran di mana Public Bank mempunyai rangkaian kukuh iaitu Malaysia, Kemboja, Vietnam, Laos, Hong Kong dan Sri Lanka.

Sebelum ini, Public Bank dan Resona Bank juga telah menjalin kerjasama perniagaan yang sama menerusi MOU yang dimeterai pada 2013.

Saitama Resona Bank memiliki francais bank serantau yang kukuh dengan 127 cawangan, yang mana 126 daripadanya terletak di Wilayah Saitama yang memiliki penduduk lebih 7.2 juta orang.

Sementara itu, Kinki Osaka Bank ialah bank serantau utama dengan 122 cawangan di Wilayah Osaka.

Bank itu terlibat dalam aktiviti perbankan runcit, menumpukan bukan sahaja kepada segmen perusahaan kecil dan sederhana tetapi juga segmen individu seperti gadai janji kediaman dan dana amanah pelaburan.

ARTIKEL YANG SAMA