Public Bank yakin capai pertumbuhan lebih mapan

Public Bank yakin capai pertumbuhan lebih mapan

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) – Public Bank Bhd kini berada pada kedudukan tepat bagi mencapai pertumbuhan masa depan yang lebih mapan, kata Pengasas dan Pengerusinya, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ketika berkongsi hala tuju strategik serta unjuran masa depan Public Bank Group di mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini, beliau berkata bank itu lebih berhati-hati ketika memasuki tahun 2016 kerana menyedari cabaran ekonomi dan perniagaan.

Namun, pada masa sama, pihaknya tetap berkeyakinan terhadap pelbagai usaha yang dilaksanakannya untuk kekal berkembang pada masa depan, katanya.

“Bagi prospek masa depan, kumpulan ini akan terus menumpukan segmen teras iaitu perbankan runcit dan pembiayaan selain meneruskan dasar kredit berhemat serta amalan tadbir urus korporat yang kukuh.

“Dalam tempoh menghampiri ulang tahunnya yang ke-50, kumpulan ini yakin berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan mapan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Tan Sri Tay Ah Lek berkata lebih 5,000 pemegang saham menghadiri AGM jubli emas itu dan turut menghargai sumbangan Teh terhadap keuntungan berterusan bank serta prestasi cemerlang bank itu sejak ditubuhkan pada 1966.

Menurutnya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 (FY15), keuntungan sebelum cukai Public Bank buat pertama kalinya dapat melangkaui paras RM6 bilion serta menokok 11.6 peratus kepada RM6.49 bilion berbanding RM5.81 bilion pada 2014.

“Kumpulan ini terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju kalangan bank lain di Malaysia dengan pulangan bersih ekuiti tertinggi sebanyak 17.8 peratus pada FY15 iaitu kos paling cekap untuk nisbah pendapatan sebanyak 30.5 peratus dan nisbah kasar pinjaman terjejas sebanyak 0.5 peratus,” kata Tay.

ARTIKEL YANG SAMA