Puisi Hari Kebangsaan

Puisi Hari Kebangsaan

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Angkatan Sasterwan dan Sasterwani (ASTERWANI) dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kelmarin, telah mengadakan Majlis Baca Puisi Hari Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Kira-kira 100 orang telah menghadiri majlis tersebut dan turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Pengerusi ASTERWANI, Profesor Madya Dr. Ampuan Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.

Majlis diisikan dengan persembahan mendeklamasikan puisi oleh pemuisi undangan antaranya Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin yang dikenali ramai dalam kalangan sasterawan sebagai Badaruddin HO. Selain itu, turut diundang mendeklamasikan puisi ialah PH Muhammad Abd Rahman, Haji Sulaiman bin Haji Duraman, Haji Kiflee bin Tarsat, Sonsonjan A. Khan, Anjung Buana.

Majlis seterusnya diserikan dengan persembahan gambus oleh Haji Yassin bin Haji Hassan, persembahan menambang syair oleh Awang Mohammad Husaif bin Awang Ramli, nyanyian puisi oleh Kumpulan Putera Seni, deklamasi puisi oleh pemuisi DBP dan diakhiri dengan persembahan nyanyian puisi Kumpulan Putera Seni dan Persatuan PeSTAB.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin atau nama penanya Badaruddin HO hadir pada majlis tersebut.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin atau nama penanya Badaruddin HO hadir pada majlis tersebut.
Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim ketika menyampaikan kata alu-aluannya.
Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim ketika menyampaikan kata alu-aluannya.
Persembahan puisi daripada Kumpulan Putera Seni.
Persembahan puisi daripada Kumpulan Putera Seni.

Profesor Madya Dr. Ampuan Haji Brahim dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, dalam mengungkayahkan dan memaksimumkan peranan ASTERWANI dalam memperkasa perkembangan dan kemajuan sastera dan bahasa tanah air, beberapa kegiatan atau aktiviti telah pun dirancang pada tahun ini dan tahun hadapan.

Antaranya, ASTERWANI akan berusaha untuk membawa para penulis muda menjadi ahli, peneraju dan penerus ASTERWANI pada masa akan datang.

Selain itu, tambahnya, ASTERWANI merancang untuk memberikan khidmat bimbingan kepada pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran sastera di peringkat ‘O’ dan ‘A’ di sekolah-sekolah yang terpilih, di samping memperkenalkan karya-karya dan membawa para penulis khususnya para penerima SEA Write Award ke sekolah-sekolah.

Acara bacaan puisi berkenaan bertujuan untuk memberikan peluang kepada para penulis meluahkan perasaan cintanya kepada tanah air atau semangat nasionalisme melalui baris-baris puisi, pada masa yang sama, para pencinta sastera tanah air dapat menghayati pernyataan-pernyataan tersebut. Di samping itu, acara berkenaan juga untuk memperlihatkan semangat kebangsaan para penulis dan pencinta sastera tanah air kepada negaranya melalui penyertaan atau kehadiran mereka, serta untuk menyediakan tempat pengucapan puisi sebagai salah satu kegiatan ASTERWANI dalam sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-32 tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA