Puji aspirasi pendidikan Baginda Sultan

Puji aspirasi pendidikan Baginda Sultan

Oleh Mohamad Asyramisyanie, Sim Y.H. & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANGAR, 20 Ogos – Kian tahun persembahan khas sempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong, semakin meriah dengan elemen dan konsep yang berubah serta inovatif mencerminkan imej Daerah Temburong yang turut melangkah seiring daerah lain di negara ini.

Inilah yang dikongsikan oleh Dennis Gill yang merupakan Guru Inggeris di Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar Temburong ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Temburong, hari ini.

Warga Australia itu, sudah dua kali menyaksikan majlis sedemikian dan menyatakan perasaan terujanya melihat persembahan kali ini, dan beliau turut melahirkan perasaan sangat bangga untuk melihat anak didiknya terlibat dalam persembahan yang penuh semangat semasa latihan sebelum ini.

Ibu Susan dan Phony.
Ibu Susan dan Phony.
Dennis Gill.
Dennis Gill.
Clarissa White.
Clarissa White.

“Semangat dan usaha pelajar ini menggambarkan sikap dan perasaan sayang mereka akan raja yang dicintai sebagai peneraju dan pemimpin Brunei Darussalam,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan pendidikan di negara ini pada perspektifnya, beliau berkata perkembangan Bahasa Inggeris di Brunei sangat baik dan ia pasti akan lebih berkesan dengan adanya medium pembelajaran yang efektif seperti di sekolah tempatnya mengajar yang dipilih sebagai Sekolah Contoh memanfaatkan IT dalam pembelajaran.

“Ini menunjukkan pembangunan pendidikan yang sangat memberangsangkan dan langkah kerajaan di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini sangat dipuji,” tambah beliau.

Dennis Gill yang pernah bertugas di beberapa buah universiti di Australia, Jepun dan Myanmar, berkata beliau memilih Brunei kerana dia sendiri sememangnya suka bekerja di negara Asia kerana menyukai budaya dan keramahan bangsanya.

Katanya, beliau kali pertama ke negara ini pada 35 tahun lalu dan tidak pernah menyangka akan mengajar di sini, namun baginya apa yang perlu diberikan pujian besar adalah kebolehan negara ini membangunkan sistem pendidikannya ke tahap yang setaraf dengan negara maju lain di rantau ini.

Seorang lagi guru dari Australia, Clarissa White yang mula bekerja di negara ini pada awal Januari 2015 lalu, berkata ini adalah pengalaman pertamanya melihat keriangan dan suasana meriah yang menjadikan beliau sangat teruja.

“Saya gembira berkesempatan bersemuka dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana semua rakyat menyayangi Baginda dan ia jelas ketara apabila melihat semangat yang ditunjukkan anak-anak muda di negara ini menjunjung keberangkatan Baginda,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum sampai ke negara ini beliau tidak pernah mengetahui mengenai acara ini namun setelah mula bertugas ramai rakan-rakan setugasnya memberikan bayangan yang meriah akan majlis bercemar duli seperti yang dilihatnya hari ini.

Ditanya mengenai peranannya hari ini, beliau memberitahu dia membawa pelajar di awal pagi hari dan ia merupakan pengalaman barunya dalam tugas sebagai pendidik dan bagi guru berusia 27 tahun yang bertugas di Labi Estate dan Piasau-Piasau itu, bekerja di negara ini adalah satu pengalaman yang sangat mencabar.

Mengulas mengenai apa yang mendorong beliau ke negara ini, katanya, beliau sangat suka untuk mengajar Bahasa Inggeris di luar negara dan peluang yang diterimanya untuk mendidik anak Brunei diambil sebaik mungkin.

Manakala itu, ditanya mengenai ekspresi pertamanya mengenai Brunei Darussalam, menurutnya Brunei sebuah negara yang bersih, teratur dan gah.

Sementara itu, dua lagi warga asing yang sempat ditemui wartawan Media Permata di majlis itu, Ibu Susan dan Phony dari Bandung, Indonesia, turut tidak melepaskan peluang menyaksikan acara penuh gilang-gemilang itu, sementara berada di negara ini bagi melawat sanak saudara buat kali pertama.

“Saya sangat teruja melihat sendiri kemeriahan acara ini dan jelas apa yang saya lihat seperti yang digambarkan oleh sumber yang saya terima dan bagi saya hari ini adalah sejarah baru dalam hidup saya,” ujar Ibu Susan.

Sebelum datang ke negara ini, mereka langsung tidak mengetahui akan acara ini dan baginya sangat bertuah untuk berpeluang menjadi sebahagian daripada mereka yang menyaksikan acara kemuncak di daerah ini, kali ini.

Beliau turut meluahkan perasaan sangat beruntung untuk turut serta dan akan mengambil peluang lain jika diberikan pada masa akan datang untuk ke negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA