Pukul isteri sedang hamil

Pukul isteri sedang hamil

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160328_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Tindakan seorang suami memukul isterinya yang ketika itu hamil lima bulan telah mengheretnya ke penjara selama enam bulan selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman memerintahkan hukuman ke atas Awangku Alif bin Pengiran Ali, 27, dijalankan serta-merta. “Tertuduh gagal untuk menjadi seorang suami dan seorang bapa kepada anak damit yang belum lahir.

“Dalam hal ini, mahkamah tidak mempunyai rasa simpati ke atas tertuduh,” tegas Majistret Pengiran Shahyzul sambil menambah tertuduh seharusnya menunjukkan kasih sayang kepada isterinya, dan bukannya dilayan dengan cara yang paling teruk. Tertuduh didakwa menumbuk isterinya yang berusia 27 tahun di dahi dan paha kanan di Jalan Kelab Golf Pantai Mentiri, jam 9 malam pada 31 Januari 2016.

Tertuduh berbuat demikian selepas hilang sabar ketika bertengkar dengan isterinya.

Tertuduh, pada 7 Mac 2016 ketika di Kampung Sungai Kebun, sekali lagi hilang sabar apabila mendapati barang yang dicarinya itu telah disimpan oleh isterinya, di mana barang itu dipercayai adalah peralatan untuk mengambil dadah.

Tertuduh telah menumbuk isterinya di kepala, menarik rambutnya beberapa kali, memukul pergelangan tangannya dan memijak pergelangan kakinya.

Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah untuk memberinya peluang dan berjanji untuk tidak melakukan kesalahan itu lagi. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norhayati binti Omar.

ARTIKEL YANG SAMA