Pulau Langkawi berisiko dilanda tsunami

Pulau Langkawi berisiko dilanda tsunami

ALOR SETAR, 27 Dis – Walaupun sudah lebih sedekad tragedi Tsunami 2004 melanda, namun Kedah terutamanya Pulau Langkawi dan Kota Kuala Muda masih berisiko untuk dilanda tsunami, kata Pengarah Meteorologi Kedah Rosli Zakaria@Che Kob.

Beliau berkata, ia disebabkan kedudukan geografi kawasan berkenaan yang berdekatan dengan kawasan sebelah Barat Sumatera yang merupakan kawasan aktif berlakunya gempa bumi.

Langkawi katanya, berisiko tinggi terkena tsunami terlebih dahulu, memandangkan tsunami pada 2004 menyaksikan jarak antara pusat gempa dengan Pantai Chenang lebih dekat.

“Mengikut jarak rentas (lurus) antara pusat gempa dengan Langkawi, kita anggarkan 550 kilometer, tapi kalau jarak sebenar ombak tsunami boleh bergerak ialah hampir 1,000 kilometer,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Malah beliau berkata kesan tsunami akibat gempa bumi di Lautan Hindi-Barat Laut Sumatera, pada 26 Dis 2004 menyaksikan Pantai Chenang di Langkawi mencatatkan ketinggian ombak 3.7 meter, dan masa ketibaan tiga jam 15 minit dan Kuala Muda pula mencatat ketinggian ombak 3.9 meter dengan masa ketibaan empat jam 32 minit.

Pengarah Meteorologi Kedah Rosli Zakaria @ Che Kob menunjukkan lokasi lapan siren tsunami yang telah dipasang di negeri ini sejak kejadian Tsunami pada 2004 ketika ditemui Bernama. -Bernama
Pengarah Meteorologi Kedah Rosli Zakaria @ Che Kob menunjukkan lokasi lapan siren tsunami yang telah dipasang di negeri ini sejak kejadian Tsunami pada 2004 ketika ditemui Bernama. -Bernama

Tsunami yang membadai beberapa negara pada 2004 turut menyebabkan Kedah terkena tempias tsunami, dengan 10 kematian di Kota Kuala Muda dan satu di Langkawi.

“Risiko tsunami sentiasa ada sebab kawasan di Utara dan sebelah Barat Sumatera memang kita panggil kawasan aktif disebabkan oleh pertembungan dua plat tektonik yang menyebabkan gempa bumi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. – Bernama