Pulau penjara Itali, lahir impian EU

Pulau penjara Itali, lahir impian EU

NAPLES, Itali, 22 Ogos – Pulau Ventotene, gunung berapi lama di perairan pantai Naples tempat para pemimpin Itali, Perancis dan Jerman mengadakan pertemuan hari ini bagi rundingan berhubung masa depan Kesatuan Eropah (EU), adalah tempat lahirnya impian Eropah bersatu.

Dengan batu-batu granit putihnya dan air yang berwarna firus, pulau itu, kedua terbesar di kepulauan Pontine, memiliki sejarah panjang sebagai tempat penghukuman dan penyeksaan bagi orang terbuang dan mereka yang hidup dalam buangan.

Terkenal pada era Roman sebagai Pandataria, kali pertama ia tersohor kerana menjadi tempat tinggal anak perempuan maharaja Augustus, Julia the Elder selepas dia dituduh berzina, sebelum maharaja Nero menghantar isterinya Octavia ke sini untuk hidup dalam buangan.

Di kawasan berhampiran, singkapan berbatu, digelar Santo Stefano kerabat diraja Bourbon telah membina penjara berbentuk ladam dalam tahun 1797, yang terdiri dari 99 buah sel sekitar menara pengawal bulat, dengan ruang untuk lebih 600 orang tahanan.

Ia digunakan oleh rejim Fasis ketika Perang Dunia kedua sebagai tempat untuk menghapuskan penentang-penentang politik, dengan kira-kira 2,000 orang tahanan mati di Ventotene, dan kemudian digelar ‘pulau pengurungan’

Antara mereka ialah Altiero Spinelli, seorang wartawan dan aktivis komunis, yang dijatuhi hukuman penjara pada tahun 1927 selama 16 tahun kerana penulisannya yang mengkritik kebangkitan kuasa Benito Mussolini.

Dipindahkan ke pulau ini pada tahun 1941, ketika penahanannya di sini dia secara rahsia menulis bersama-sama rakan tahanannya, Ernesto Rossi Ventotene Manifesto, salah satu teks asas federalisme Eropah.

Ditulis pada kepingan kertas rokok dan disembunyikan dalam kotak tin dua lapisan, manifesto itu ‘bagi Eropah bebas dan bersatu; diseludup ke benua itu oleh Ursula Hirshcmann, seorang aktivis Jerman anti Fasis dan diedarkan dikalangan penentangan Itali.

Idea itu adalah untuk mewujudkan persekutuan negara-negara Eropah yang akan mengikat negara-negara Eropah dan mencegah peperangan akan datang antara mereka.

Spinelli diminta dikebumikan di pulau itu, dan Perdana Menteri Itali Matteo Renzi, Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Francois Hollande akan meletakkan bunga pada kuburnya hari ini. – AFP