Pulihara alam semula jadi

Pulihara alam semula jadi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Golongan belia harus bergiat aktif dan memainkan peranan mereka bukan sahaja untuk memberi khidmat kepada masyarakat tetapi juga memainkan peranan penting dalam pemuliharaan khazanah flora dan fauna negara.

Dalam hubungan itu, Ikatan Persatuan Belia Bunut (IKERAB) dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bunut Perpindahan serta Biro Wanita MPK Bunut Perpindahan mengadakan Majlis Melepaskan Benih-benih Ikan dan Udang di Kawasan Sungai Damuan Sempena Hari Belia Kebangsaan 2015, di Kawasan Persekitaran Makam Di Luba, Kampung Bunut Perpindahan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyempurnakan majlis itu bersama golongan belia kampung ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Pengerusi Tetap Persatuan IKERAB, Pengiran Wahab bin Pengiran Haji Ibrahim menyatakan bahawa majlis itu dihasratkan untuk mendidik golongan belia menjaga kebersihan kawasan sungai dan menjaga kehijauan hutan bakau sebagai tempat pembiakan bagi ikan dan udang serta memastikan ekosistem penting berkenaan tidak pupus.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa jika keadaan flora dan fauna di kawasan berkenaan dapat dikekalkan, ia boleh membantu menjadi salah satu daya tarikan bagi pelancongan ke tempat berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi melepaskan benih udang ke dalam sungai berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi melepaskan benih udang ke dalam sungai berkenaan.
Yang Berhormat Pehin ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin ketika menghadiri majlis berkenaan.
Antara belia kampung yang sama-sama menjayakan majlis itu.
Antara belia kampung yang sama-sama menjayakan majlis itu.

Selain menanam sikap pemuliharaan alam semula jadi, majlis itu turut diharap dapat menerapkan nilai-nilai warisan budaya masyarakat Brunei dalam kalangan golongan belia seperti kerja bergotong-royong, menghormati orang tua dan tidak camah mata untuk memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan.

Oleh itu, beliau menyeru golongan belia untuk bersikap proaktif dalam menanam dan memelihara budaya warisan Brunei supaya dapat memastikan budaya itu tidak terhakis dan pupus ditelan zaman.

Beliau turut menyatakan mengenai perancangan MPK Bunut Perpindahan, IKERAB dan Biro Wanita MPK Bunut Perpindahan bagi mempunyai sebuah jambatan untuk merentasi dalam hutan bakau di kawasan berkenaan.

Perancangan dan hasrat itu adalah untuk memberikan peluang kepada para pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar seperti Monyet Bangkatan yang tidak terdapat di tempat lain, di mana setentunya ia mampu menjadi daya tarikan pelancong ke kawasan itu.

“Potensinya dari sektor pelancongan, negara dan impak dari impian ini akan memangkinkan lagi ekonomi negara dan bagi belia di sini akan dapat menjadi pemandu pelancong yang akan dapat meningkatkan lagi ekonomi belia.”

Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Pehin bersama-sama para jemputan lainnya menyempurnakan pelepasan benih-benih ikan dan udang ke dalam kawasan sungai berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA