Pulihkan semangat pesakit jantung

Pulihkan semangat pesakit jantung

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Kira-kira 100 bekas pesakit jantung yang telah menamatkan program pemulihan jantung melakukan kegiatan fizikal hari ini di Taman Agro Teknologi, Tungku Gadong anjuran Unit Kardiologi dan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Acara tersebut yang diadakan setiap tahun turut disertai ahli-ahli keluarga pesakit.

Jurupulih Cara Kerja Kanan, selaku Penyelaras Pemulihan Kardiak Hospital RIPAS, Awang Jong Seng Khiong berkata, pendekatan seumpama itu meningkatkan lagi keyakinan diri pesakit dan juga memperkuatkan mereka serta para ahli keluarga dalam menjaga kesihatan jantung serta membantu mencegah serangan jantung di masa akan datang.

Menurutnya, sepanjang 10 tahun ini, seramai 5,000 pesakit jantung telah dilaporkan, di mana 1,000 daripadanya telah melalui pembedahan pintasan dan 4,000 lagi telah melalui pembedahan injap.

Penyakit jantung merupakan salah satu penyakit yang paling mahal untuk dirawat.

Bekas-bekas pesakit jantung dan keluarga melakukan senaman mereka.
Bekas-bekas pesakit jantung dan keluarga melakukan senaman mereka.

Awang Jong berkata, sejumlah besar perbelanjaan kesihatan tahunan digunakan untuk merawat dan mengekalkan rawatan yang berterusan kepada individu yang mengidap penyakit jantung.

Tambah beliau, usaha bersepadu oleh Unit Pemulihan Cara Kerja dan Unit Kardiologi telah berjaya mewujudkan satu program pemulihan jantung pada tahun 2004 di Hospital RIPAS untuk membantu individu yang mempunyai masalah jantung seperti serangan jantung, injap jantung rosak dan kegagalan jantung untuk pulih seperti biasa dan juga melibatkan mereka kepada masyarakat atau kembali bekerja.

Pemulihan jantung merupakan salah satu kaedah yang berkesan secara klinikal dan kos efektif dalam pengurusan penyakit kardiovaskular, ujarnya.

Awang Jong turut mengingatkan orang ramai, jika terdapat beberapa tanda seperti sakit di bahagian dada dan menular ke bahagian tangan, gastrik atau sakit tanpa ada sebab tertentu, mereka hendak pergi berjumpa doktor untuk pemeriksaan, kerana tanda-tanda ini boleh menjadi satu tanda penyakit jantung atau serangan jantung.

“Penjagaan makanan juga perlu diambil kira kerana memakan makanan yang kurang berkhasiat, serta pengambilan gula yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit jantung.

“Pengambilan gula yang berlebihan menyebabkan darah di dalam badan akan menjadi pekat dan akan menyukarkan proses perjalanan darah di dalam badan,” tambah beliau.

Seorang pesakit, Haji Suhaili bin Haji Ismail ketika ditemui berkata, beliau bersyukur setelah melalui beberapa pemeriksaan dan mengikut saranan doktor, beliau tidak perlu menjalani pembedahan, hanya memakan beberapa jenis ubat sahaja sudah mencukupi.

“Hanya tinggal menjaga pemakanan dan menjaga aktiviti olahraga secara berterusan mengikut kemampuan,” ujar beliau.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program pemulihan jantung, bolehlah menghubungi talian 2242424 sambungan 6133 atau 5818 bagi sebarang perjanjian untuk perjumpaan mengenai keterangan terperinci program berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA