Pulisic ceriakan Jurgen Klinsmann

Pulisic ceriakan Jurgen Klinsmann

LOS ANGELES, 8 Sept – Jurulatih Amerika Syarikat Jurgen Klinsmann memuji Christian Pulisic selepas bintang remaja itu mempamerkan aksi menarik ketika membelasah Trinidad & Tobago dalam aksi kelayakan Piala Dunia, kelmarin.

Klinsmann menyerahkan penyerang Borussia Dortmund berusia 17 tahun itu permulaan pertama pada Selasa dan kepercayaan jurulatih AS itu berbalas dengan persembahan mempesonakan Pulisic dalam kemenangan 4-0 di Jacksonville.

Walaupun Pulisic gagal menjaringkan gol – selepas menjaringkan dua gol sebagai pemain gantian ketika menentang St Vincent dan Grenadines minggu lalu – remaja itu mempamerkan satu lagi prestasi yang mencadangkan AS berjaya mencungkil bakat tulen.

Klinsmann berkata, beliau telah dipujuk untuk menurunkan Pulisic, yang membuat penampilan pertama untuk Dortmund pada Januari, selepas menonton pemain muda itu lebih dekat dalam latihan semasa Copa America Centenario Jun lalu.

Pemain AS, Paul Arriola meraikan gol bersama Christian Pulisic (10) semasa menentang Trinidad & Tobago di Jacksonville, Florida pada 6 September lalu. – AP
Pemain AS, Paul Arriola meraikan gol bersama Christian Pulisic (10) semasa menentang Trinidad & Tobago di Jacksonville, Florida pada 6 September lalu. – AP

“Kami menonton setiap sesi latihannya. Jelas sekali Copa America banyak membantu kami untuk membawa dia bersama-sama, untuk berasa selesa dengan kumpulan pemain yang lebih tua,” kata Klinsmann.

“Dia bertambah matang setiap sesi berdasarkan cara dia berlatih dan memberi tumpuan. Dia juga sering mengintai untuk menjaringkan gol, tidak bersandar kepada sesiapa dan berani menghadapi pertempuran fizikal.” – AFP

Kematangan untuk menjaringkan gol terbukti ketika Pulisic menentang Trinidad, apabila pemain muda itu terus-menerus menyerang dan terlibat dalam tiga daripada empat jaringan AS.

“Prestasinya amat mengagumkan,” Klinsmann berkata selepas itu.

“Saya tidak mahu memberi terlalu banyak pujian. Saya mahu untuk memastikan dia merendah diri.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA