Puluhan pelombong ditimbus tanah runtuh

Puluhan pelombong ditimbus tanah runtuh

YANGON, 27 Dis – Berpuluh-puluh pelombong dipercayai tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di sebuah lombong jed di utara Myanmar kelmarin.

Kejadian tanah runtuh di Hpakant di negeri Kachin itu adalah yang kedua berlaku di wilayah sama dalam tempoh sebulan.

Seorang pekerja di lombong itu berkata, sisa tanah lombong runtuh menimbus kira-kira 50 orang pekerja di bawahnya.

“Kira-kira 50 pekerja ditimbus tanah berkenaan dan hanya empat hingga lima mayat dijumpai pagi ini (semalam),” katanya.

Jurucakap polis di Hpakant berkata, kejadian berlaku pada tengah hari kelmarin tetapi jumlah sebenar mangsa yang tertimbus tidak dapat disahkan.

Pasukan penyelamat menggunakan jentera berat untuk menggali tanah runtuh yang menimbus puluhan pekerja lombong jed di utara Myanmar. - Agensi
Pasukan penyelamat menggunakan jentera berat untuk menggali tanah runtuh yang menimbus puluhan pekerja lombong jed di utara Myanmar. – Agensi

“Kami juga masih belum menerima laporan dari pasukan penyelamat mengenai jumlah mangsa yang terkorban,” katanya.

Satu kejadian tanah runtuh di wilayah yang sama pada 22 November lalu menyebabkan seramai 114 pelombong maut.

Kejadian berlaku apabila bukit yang terbentuk dari sisa buangan tanah runtuh dan menimbus pondok pekerja yang sedang tidur.

Kawasan itu terkenal kerana mengeluarkan jed paling berkualiti di dunia. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA