Punca gangguan bekalan air

Punca gangguan bekalan air

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Sejak 15 Julai lalu, penduduk di RPN Meragang dan kawasan-kawasan sekitarnya mengalami gangguan bekalan air, dan berikutan daripada itu, Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR) menyatakan rasa kesal kepada para penduduk yang terjejas atas kesulitan yang dialami akibat gangguan berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya semalam, JKR menjelaskan pada 14 Julai 2016, sekitar pukul 7:25 malam, penahan petir telah mengakibatkan gangguan elektrik sementara dan menyebabkan kegagalan sepenuhnya terhadap sistem telemetri sehingga menjejaskan menjejaskan perkhidmatan takungan air di Meragang.

Bekalan elektrik dipulihkan sejurus selepas itu, namun sistem telemetri hanya dapat dipulihkan pada 16 Julai 2016 sekitar 9 pagi, sekali gus menghalang kakitangan jabatan berkenaan memantau dan mengawal paras takungan air dan sistem pengepam dalam tempoh berkenaan.

Sebagai takungan terakhir dalam sistem perbekalan air, paras takungan Meragang yang berkurangan menyebabkan tekanan rendah berlaku di Lambak Kanan ditambah lagi dengan sedikit peningkatan penggunaan air dari semua kawasan.

Tahap takungan tidak dapat distabilkan kepada tahap yang dikehendaki secepat mungkin walaupun selepas pelbagai langkah telah diambil oleh jabatan untuk meningkatkan bekalan air.

Bekalan air terjejas sejak 15 Julai apabila takungan air Meragang berada pada paras yang rendah.

Pada masa ini, pihak jabatan masih mengambil beberapa usaha untuk memulihkan dan menstabilkan bekalan air, bagaimanapun buat masa ini, penduduk di kawasan yang terjejas terutamanya yang tinggal di tanah tinggi akan terputus bekalan air kerana tekanan air yang rendah.

JKR kini sedang melakukan yang terbaik untuk menstabilkan bekalan air dan akan mengerahkan trak-trak tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Sehubungan itu, JKR meminta kerjasama para penduduk di kawasan berkenaan untuk mengamalkan penggunaan air secara berhemah dan tidak membazir.

Untuk membuat laporan mengenai sebarang kebocoran atau aduan mengenai air bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123.

JKR, dalam kenyataannya, sekali lagi menyuarakan kekesalan mengenai kejadian berkenaan dan berterima kasih kepada semua penduduk di RPN Meragang dan kawasan sekitarnya atas kesabaran dan sokongan yang diberikan.

Berikutan daripada masalah berkenaan, pihak jabatan tidak lama lagi akan melaksanakan penyelesaian jangka masa panjang bagi memperbaiki bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas.

ARTIKEL YANG SAMA