Punca kemalangan disiasat

Punca kemalangan disiasat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 14 Mac – Pasukan Polis Diraja Brunei masih menyiasat punca sebenar kejadian sebuah kereta jenis saloon terbabas masuk ke kawasan semak yang agak curam di tepi jalan berdekatan Jambatan Sungai Bera, Anduki, di sini.

Pihak polis melaporkan telah menerima panggilan kejadian tersebut yang berlaku di kawasan G26 Sungai Bera Anduki pada kira-kira pukul 9:34 pagi tadi.

Pemandu kereta terbabit seorang wanita, dikatakan tidak mengalami kecederaan tetapi telah dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait berikutan mendakwa berasa pening.

Mengikut sumber yang kebetulan berada di tempat kejadian, kereta tersebut yang dipercayai dipandu dari arah Anduki menuju ke Seria, tiba-tiba hilang kawalan apabila sampai berdekatan dengan jambatan jalan tersebut.

Kereta yang terbabas yang dipandu oleh seorang wanita.
Kereta yang terbabas yang dipandu oleh seorang wanita.

Polis dengan ini menasihatkan orang ramai terutama pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu terutama dalam keadaan berjerebu pada masa ini, dan keadaan penglihatan yang kurang jelas khususnya di kawasan Jalan Seria Bypass.

Begitu juga dengan pengguna-pengguna jalan di kawasan Rasau, Kampung Sungai Teraban, yang pada masa ini juga berlaku kebakaran hutan, supaya mengurangkan had laju kerana terdapat kawasan jalan seperti di Kampung Sungai Teraban, Jalan Sungai Satu hingga Sungai Dua, dipasang kon-kon jalan di bahagian tengah bagi memudahkan pihak anggota bomba melaksanakan tugas memadam mereka.