Punca kemiskinan dikenal pasti

Punca kemiskinan dikenal pasti

Oleh Yusrin Junaidi

 

pg01_160317_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Satu jawatankuasa kecil yang ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Isu-Isu Sosial telah mengenal pasti beberapa punca kemiskinan, antaranya kelulusan pendidikan rendah yang menyebabkan gaji diterima rendah dan jumlah tanggungan ramai yang menyebabkan gaji diterima tidak mencukupi.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, usaha untuk mengatasi isu-isu ini adalah memang kompleks dan memerlukan strategi yang komprehensif dan meluas, yang menurutnya, Majlis Kebangsaan Isu-Isu Sosial dan jawatankuasa khas mengatasi kemiskinan memahami akan keperluan untuk melaksanakan strategi yang meluas termasuk daripada aspek pendidikan, latihan, kesedaran dan sebagainya.

Oleh itu, ujar Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, satu pelan tindakan telah diluluskan yang menggariskan beberapa usaha yang perlu dilaksanakan, iaitu pendidikan, kesihatan, pekerjaan, latihan, perumahan, keusahawanan, kewangan dan dasar-dasar perundangan.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini pada sesi petang hari kesembilan Mesyuarat Pertama bagi Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara, hari ini, Yang Berhormat Pehin berkata, sebagai misalan, satu langkah yang penting perlu dilaksanakan segera, adalah untuk meningkatkan kepentingan pendidikan dan mendapatkan kelulusan setingginya dan juga kesedaran mengenai isu bijak berbelanja.

Tambahnya lagi, antara perkembangan terkini yang dilaksanakan melalui jawatankuasa khas berkenaan adalah, mengadakan taklimat celik kewangan bagi penerima-penerima bantuan kebajikan bulanan yang mesti dihadiri sebelum menerima bantuan kebajikan bulanan daripada JAPEM.

Taklimat ini adalah dilaksanakan dengan kerjasama Autoriti Monetori Brunei Darussalam, Tabung Amanah Pekerja, Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja, di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pusat perbankan dan Kewangan Pengurusan Islam.

Kedua, ujarnya lagi, meneliti semula pelan tindakan membasmi kemiskinan dengan bekerjasama unit penggerak, Jabatan Perdana Menteri. Di samping itu, pelbagai pihak berkenaan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan agensi-agensi lain yang berkenaan juga sedang giat melaksanakan program-program yang bertujuan mengatasi isu kemiskinan.

Kejayaan program ini, katanya, mencapai matlamat ke arah membasmi kemiskinan akan hanya dilihat dalam jangka masa yang panjang.

ARTIKEL YANG SAMA