Punca letupan daripada bom

Punca letupan daripada bom

MOGADISHU, 7 Feb – Sebutir bom adalah punca letupan yang menyebabkan badan pesawat penumpang berlubang sejurus selepas berlepas di lapangan terbang Somalia Selasa lepas, yang telah mengorbankan seorang penumpang, menurut pihak kerajaan.

Para anggota keselamatan telah membuat beberapa penahanan berhubung kait dengan serangan itu, Menteri Pengangkutan dan Penerbangan, Ali Ahmad Jama memberitahu para pemberita di ibu negeri Mogadishu hari ini.

Pihak berkuasa pada mulanya mengatakan bahawa letupan itu disebabkan penyahmampatan udara.

“Beberapa penyiasatan tambahan yang dijalankan oleh Somalia dan pakar-pakar antarabangsa telah mengesahkan letupan yang berlaku di dalam pesawat Daalo Airlines bukan disebabkan masalah teknikal, tetapi disebabkan oleh sebutir bom yang bertujuan untuk memusnahkan kapal dan semua penumpang,” ujar menteri itu.

Letupan itu telah mengakibatkan badan pesawat Airbus A321 itu koyak sebesar satu meter di tepi kira-kira 15 minit selepas ia berlepas dari Mogadishu menuju Djibouti.

Seorang penumpang yang dikenal pasti sebagai Abdulahi Abdisalam telah terbunuh, berkemungkinan selepas disedut keluar dari pesawat dalam letupan itu, kata beberapa penyiasat.

Dua lagi penumpang dalam pesawat yang membawa kira-kira 60 penumpang itu mengalami cedera ringan.

Juruterbang pesawat, warga Serbia berusia 64 tahun bernama Vladimir Vodopivec, memberitahu seorang kawan bahawa dia begitu yakin letupan itu disebabkan oleh sebutir bom, menurut akhbar harian Serbia Blic.

Bagaimanapun, letupan tersebut tidak merosakkan sistem pandu arah pesawat tersebut, dan ini yang membolehkan juruterbang untuk melakukan pendaratan kecemasan, menurut laporan itu.

Rakaman video yang diambil selepas letupan itu menunjukkan para penumpang dipindahkan ke bahagian belakang pesawat dengan memakai topeng sokongan oksigen tatkala angin dari luar memasuki ruang kabin, walaupun kebanyakan penumpang kelihatan dalam keadaan tenang.

Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. – AFP