Punca Sterling merajuk

Punca Sterling merajuk

LONDON, 9 Julai (Agensi) – Raheem Sterling menegaskan hubungannya yang retak dengan pengendali pasukan, Brendan Rodgers sebagai punca dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Liverpool.

Pemain berusia 20 tahun itu tidak menghadiri sesi latihan pasukannya semalam, atas alasan tidak sihat.

Dia juga dijangka tidak hadir hari ini dan enggan menyertai jelajah pra musim bersama jurulatihnya selain kekal dengan keputusan tidak mahu lagi bermain di bawah kendalian Rodgers.

Akhbar Mirror mendedahkan sejumlah peminat pasukan berkumpul kediaman Sterling pagi semalam untuk mengancamnya.

Selain itu, dia juga dikejutkan dengan lebih 2,000 teks sistem pesanan ringkas dan 1,200 mesej menerusi WhatsApp yang mengandungi kata-kata kesat di telefon bimbitnya selepas nombor miliknya disiarkan di talian.

Hubungan retak dengan Brendan Rodgers (kanan) punca Sterling mengambil keputusan untuk meninggalkan Liverpool. – Reuters
Hubungan retak dengan Brendan Rodgers (kanan) punca Sterling mengambil keputusan untuk meninggalkan Liverpool. – Reuters

Sterling menukar nombor telefon bimbitnya sebanyak tiga kali pada tahun ini dan setiap kali itu juga ia didedahkan di domain awam, sekali gus menyebabkan dia mengesyaki ia perbuatan pekerja di kelabnya itu.

Skuad The Reds terdesak untuk menghalang pemain ini dari menyertai Manchester City, sekali lagi terbabit dengan pertelingkahan secara terbuka.

Rodgers dikatakan sudah merayu pada Sterling pada perjumpaan semalam, supaya kekal di Anfield dan menyelesaikan segera isu kontraknya.

Pengurus kelahiran Ireland Utara itu dipercayai memberi jaminan kepada Sterling sekiranya masalahnya adalah berkaitan kewangan, persetujuan boleh dicapai antara kedua-dua pihak.

Namun, Sterling, kekal dengan keputusannya untuk tidak lagi bersama Rodgers dan enggan menyertai jelajah dengan bos sedia ada itu.

Pemain England itu mendakwa Rodgers sering mungkir janji untuk tidak mendedahkan mengenai perbincangan sulit mereka. Dia juga yakin kelabnya yang membocorkan perbincangan tertutup bersama Rodgers mengenai keputusannya untuk tidak menyertai jelajah pra musim, namun dinafikan oleh Rodgers.