Pungutan GST atasi sasaran 2015

Pungutan GST atasi sasaran 2015

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) – Pungutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mengatasi sasaran RM27 bilion yang ditetapkan oleh kerajaan bagi 2015, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata pungutan sebenar daripada rejim cukai baharu itu, yang dilaksanakan pada 1 April 2015, akan diumumkan tidak lama lagi oleh kerajaan.

“Bagi tahun ini, jabatan telah diberikan tugas untuk mengumpul RM39 bilion daripada GST dan kami yakin dapat mencapai sasaran itu,” katanya pada sidang akhbar mengenai kad laporan pelaksanaan GST, di sini, hari ini.

GST enam peratus itu menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan masing-masing sebanyak 10 peratus dan enam peratus.

Pelaksanaan GST itu merupakan sebahagian daripada program pembaharuan cukai kerajaan untuk meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran dan pengurusan cukai di negara ini.

Mengenai mencapai sasaran bagi tahun ini, Subromaniam berkata jabatan itu mengambil beberapa inisiatif, termasuk pematuhan dan akan menghantar pasukan auditnya untuk mengesahkan dan bekerjasama dengan perniagaan tempatan.

“Masih banyak kekeliruan dalam kalangan perniagaan tentang pelaksanaan GST. Masih banyak syarikat yang masih tidak bersedia bagi GST.

“Kita jangka, masih terdapat puluhan ribu lagi syarikat yang melebihi syarat untuk mendaftar GST namun masih belum berdaftar dengan Jabatan Kastam.

“Angka tersebut akan terus berubah dengan penubuhan syarikat-syarikat baharu,” katanya. Lebih daripada 406,000 syarikat kini berdaftar bagi GST.

Subromaniam berkata Jabatan Kastam juga sedang menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan tempoh tuntutan GST bagi syarikat.

“Bagi bulan pertama pelaksanaan GST, kami hanya boleh membayar balik 17 peratus (daripada jumlah tuntutan) dalam masa 14 hari, seperti yang ditetapkan undang-undang, tetapi kini angka telah meningkat kepada 70 peratus.

“Kami mengambil banyak inisiatif dan langkah-langkah untuk mencapai angka-angka ini,” katanya sambil menambah banyak negara Eropah mengambil masa lebih dua minggu untuk memproses tuntutan.