Pupuk bakat seni teater

Pupuk bakat seni teater

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Syarikat produksi kesenian Relentless Entertainment Brunei kini memperkenalkan program seni drama dinamakan Performing Arts Sunday School, yang akan bermula 1 Mei ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program pengenalan yang memperkenalkan asas-asas drama, vokal dan tarian pentas/teater ini adalah yang pertama seumpamanya di Brunei Darussalam. Ia dibukakan kepada kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun dan akan dijalankan oleh guru-guru yang berkelayakan dan berpengalaman.

Program selama enam minggu akan diadakan setiap Ahad hingga 5 Jun 2016 di Relentless Studio, Kompleks Madang.

Dalam program berkenaan, drama akan diajar oleh Ummi Aisyah Salim yang memegang Diploma Seni Persembahan dengan Cemerlang (Malaysia) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Kreatif, Pengkhususan dalam Lakonan (Melbourne) yang mana beliau akan meliputi topik-topik seperti lakon peranan, pergerakan, penyuaraan, pencirian perwatakan dan persembahan.

Antara seni persembahan teater yang pernah disertai oleh Relentless Entertainment.
Antara seni persembahan teater yang pernah disertai oleh Relentless Entertainment.
Antara latihan yang diadakan di Relentless Studio.
Antara latihan yang diadakan di Relentless Studio.

Kelas nyanyian pula akan dikendalikan oleh Sharon Jusay yang merupakan seorang guru muzik, penyanyi, jurulatih vokal dan pengendali bengkel yang memegang Ijazah Sarjana Muda Muzik (cum Laude) Piano & Suara dari University of the Philippines dan juga merupakan penerima keahlian Phi Kappa Phi Honor Society antarabangsa di Amerika Syarikat (AS).

Dalam kelas beliau, para pelajar akan mempelajari pelbagai teknik untuk memanaskan suara serta cara-cara untuk mempertingkatkan kepelbagaian vokal. Di samping itu, mereka juga akan belajar untuk menyanyi secara individu dan sebagai sebahagian daripada koir.

Manakala itu, kelas tarian akan dikendalikan oleh Fakulti Relentless Studio yang berpengalaman luas dalam koreografi pentas dan persembahan, pelajar akan mempelajari asas-asas teknik dan rutin tarian gaya teater/Broadway.

Setelah berjaya menamatkan program berkenaan, para pelajar akan menunjukkan apa yang telah mereka pelajar kepada rakan-rakan dan keluarga di studio berkenaan dan menerima sijil.

Relentless dalam kenyataannya menyatakan harapan bahawa dengan adanya program berkenaan, mereka akan dapat menarik lebih ramai belia untuk berminat dan terlibat dalam seni persembahan.

Relentless Brunei telah ditubuhkan pada tahun 2008 dan secara berterusan telah memenuhi misi dan matlamat mereka untuk mempromosikan dan memupuk seni persembahan di negara ini.

Syarikat berkenaan telah bertanding dan memenangi beberapa pertandingan tarian di luar negara dan dalam negara. Tahun lalu, Relentless telah dipilih untuk bertanding dalam Kejohanan Dunia bagi Seni Persembahan di Los Angeles (LA), AS.

Bersaing dengan 63 buah negara lain, Relentless berjaya mara ke peringkat akhir dan membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa, pemenang divisyen keseluruhan (hip hop), satu anugerah industri tarian dan sebulan biasiswa ke Kompleks Tarian Milenium yang berprestij di LA.